Friday 25 November 2011

Usia bukan penghalang Jalaluddin tabur bakti (26.11.2011)

FAKTOR usia bukan ukuran menilai prestasi pemain, itulah komen kapten Pahang musim ini, Jalaluddin Jaafar yang berhasrat terus menabur bakti bersama Pahang musim depan.
Biarpun menjangkau usia 37 tahun tahun depan, Jalaluddin berazam membantu Pahang kembali beraksi dalam kancah Liga Super musim 2013 selepas gagal mempertahankan skuadnya daripada beraksi dalam liga utama itu.

Jalaluddin berkata, dia tidak berhasrat menggantung but sebaliknya akan bersama skuad itu selagi khidmatnya diperlukan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
“Saya ingin terus bersama Pahang musim depan kerana prestasi dan komitmen terhadap pasukan masih kuat. “Bagi saya, usia tidak memberi sebarang masalah kerana mampu memberi sumbangan bermakna sejak menyertai Pahang pada 1997,” kata pemain kelahiran Pekan, Pahang itu.

Sejak mewakili Pahang pada 1997, hanya gelaran juara Piala Malaysia belum dijulang selepas berjaya meraih gelaran Piala Liga Perdana pada 1999, Piala Liga Super 2004 dan Piala FA 2006.

Namun, musim ini pemain itu gagal membantu Pahang layak beraksi dalam saingan Liga Super selepas skuad itu menduduki tangga ke-13 sekali gus tersingkir dan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim 2012.
Ditanya kontraknya bersama Pahang, Jalaluddin berkata, semua pemain masih menjalani latihan bersama bersama jurulatih, Dollah Salleh sehingga kontrak berakhir pada 30 November ini.

Menurutnya, setakat ini, tiada kata putus daripada PBNP tetapi sebagai pemain, dia harap dapat terus kekal bersama negeri kelahirannya itu.
“Saya harap khidmat masih diperlukan kerana misi utama ialah mengembalikan Pahang ke Liga Super 2013,” katanya.

No comments:

Post a Comment