Tuesday, 29 November 2011

McIlroy buru trofi pertama Hong Kong (30.11.2011)

HONG KONG: Pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy hadir di Hong Kong dengan keazaman tinggi untuk merangkul kejuaraan yang sudah lama menjadi idamannya sekali gus menamatkan 12 bulan yang gemilang.
“Hebat untuk menamatkan musim dengan kemenangan, ia satu kejohanan yang saya terlalu inginkan selama beberapa tahun,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

“Hong Kong adalah satu kejohanan yang muncul pertama dalam jadual saya setiap tahun. Saya amat sukakan tempat itu dan jatuh cinta kali pertama tiba di sini pada 2005,” kata McIlroy.
Sejak kunjungan terakhirnya ke bandar selatan China itu pada 2010, McIlroy mengalami persembahan turun naik apabila gagal bertindak hebat pada pusingan akhir Masters AS pada April sebelum tampil dengan empat pusingan yang hampir sempurna pada Terbuka AS Jun lalu untuk menang dengan lapan pukulan.

“Ia tahun yang menarik buat saya,” kata bintang Ireland Utara itu. “Ada beberapa perubahan di lapangan golf dan di luar lapangan dan saya menikmati setiap saat.” Perpisahan dengan pengurus, Andrew Chandler dan percintaannya dengan pemain tenis nombor satu dunia, Caroline Wozniacki memastikan McIlroy tidak pernah lekang daripada tumpuan utama media.

“Daripada memiliki peluang besar pada permulaan tahun di Augusta (Masters AS) dan tidak berjaya di sana, saya belajar mengenai diri sendiri dan apa yang saya harus lakukan untuk muncul juara kejohanan utama dan saya fikir ia dilaksana pada Terbuka AS,” kata McIlroy.

“Semuanya sudah berlaku tapi saya tidak mungkin mahukan sebaliknya,” katanya.

Pemain Ireland Utara itu dua kali muncul naib juara pada Terbuka Hong Kong, pada 2008 dan 2009, manakala tahun lalu dia berpeluang untuk menang hingga pertengahan saingan pusingan akhir sebelum merudum menduduki tangga keenam, empat pukulan di belakang juara, Ian Poulter. - AFP

No comments:

Post a Comment