Monday 28 November 2011

Olyroos terjejas (29.11.2011)

SINGAPURA: Harapan Australia untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik terjejas berikutan keputusan seri tanpa jaringan buat kali ketiga berturut-turut, kelmarin ketika Jepun dan Korea Selatan hampir memastikan tempat dengan kemenangan tipis.
Jurulatih Olyroos, Aurelio Vidmar bercadang mengarahkan latihan sepakan tambahan selepas Australia diikat di gelanggang sendiri oleh Uzbekistan, selepas keputusan sama menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq).

Kekurangan gol menyebabkan Australia tertekan selepas separuh saingan dengan Iraq berjaya merampas kedudukan kedua Kumpulan B selepas menundukkan UAE 2-0 di Al-Ain.
Juara setiap kumpulan meraih tiket automatik ke London 2012 manakala pasukan di tangga kedua mara ke pusingan round-robin dengan pemenang beraksi dalam perlawanan play-off menentang wakil Afrika.

“Mungkin ini masanya kami berhenti melakukan latihan taktikal dan lebih menumpukan kepada latihan menjaringkan gol,” kata Vidmar. “Kami kelihatan kekurangan faktor ini di barisan serangan.

“Kami berjaya masuk ke kawasan kotak penalti lawan beberapa kali namun benteng pertahanan lawan kelihatan terlalu sukar ditembusi atau lorongan terkena belakang penyerang kami sendiri.

“Ia perkara kecil yang mengecewakan kami.” Di Tokyo, pemain yang dibeli Borussia Monchengladbach musim panas lalu, Yuki Otsu menjaringkan gol pada minit ke-86 bagi membantu Jepun mengalahkan Syria, 2-1 dan mendahului Kumpulan C dengan sembilan mata maksimum.

Otsu menyempurnakan hantaran lintang Yusuke Higa untuk menceriakan kem Jepun selepas usaha solo Omar Al Suma memadam gol pendahuluan pertahanan Mizuki Hamada pada babak pertama.

“Saya berasa Higa akan melakukan hantaran cantik. Sejak saya pergi ke Jerman, saya belajar perlunya sentiasa bersedia menerima hantaran lintang. Kami memerlukan gol secepat mungkin dan saya bersedia,” kata Otsu, 21.

Sementara itu, Korea Selatan memerlukan sepakan penalti babak pertama untuk mengatasi Arab Saudi, 1-0 dan kekal di persada Kumpulan A.

Cho Young Cheol menyempurnakan sepakan penalti melepasi penjaga gol Arab Saudi, Hussein Shaian pada minit ke-33 selepas kekasaran dilakukan pertahanan Ahmed Walibi. - AFP

No comments:

Post a Comment