Sunday 27 November 2011

Persiapan atlet Pahang tak terjejas (28.11.2011)

PERSIAPAN atlet Pahang yang bakal berentap pada Sukma XV Pahang 2012 tidak terjejas biarpun temasya itu bakal ditunda daripada jadual asal iaitu Jun tahun depan.
Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Nik Nasharuddin Mohd Zawawi berkata, semua persatuan sukan akan memberi sepenuh tumpuan pada temasya yang menyaksikan lebih 6,000 atlet dari seluruh negara bertanding.

Menurutnya, sebagai agensi yang memantau persiapan atelt, MSP berharap kejayaan gemilang mampu dicapai kontinjen Pahang terutama dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
“Saya percaya semua atlet Pahang akan mempamerkan semangat juang tinggi dan pada masa sama mencipta kejayaan membanggakan.

“500 atlet diberi tanggungjawab untuk mengharumkan nama Pahang,” katanya.

Tarikh penganjuran Sukma XV Pahang 2012 yang sebelum ini ditetapkan pada Jun, kemungkinan besar ditunda berikutan cuti semester Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak selaras dengan cuti persekolahan biasa.
Perubahan tarikh itu terpaksa dilakukan kerana sebahagian besar IPT di negeri ini akan menjadi lokasi penginapan atlet yang beraksi pada temasya itu.

Bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung tarikh sebenar Sukma 2012 akan hanya diumumkan selepas Jawatankuasa Induk Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (gambar) bermesyuarat hujung bulan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Sukma XV Pahang 2012, Ahmad Hairi Hussain, berkata sebenarnya, sekretariat Sukma dimaklumkan mengenai perubahan jadual cuti semester IPT yang tidak sama dengan cuti persekolahan.

“Disebabkan semua atlet akan ditempatkan di IPT, bulan Julai adalah tarikh paling sesuai bagi penganjuran sukan ini. Bagaimanapun, keputusan muktamad akan hanya diketahui pada hujung bulan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment