Tuesday 29 November 2011

MGF perlu namakan pengganti Wan Nin (30.11.2011)

PERSEKUTUAN Gimnastik Malaysia (MGF) perlu bersedia mencari pengganti bintang gimrama negara, Lee Wan Nin (gambar) secepat mungkin untuk berdepan saingan ujian kelayakan ke temasya Olimpik London 2012, Januari depan.
Presiden MGF, Profesor Datuk Zakaria Ahmad berkata, kecederaan Wan Nin begitu serius dan pihaknya akan mengadakan mesyuarat untuk memilih gimnas terbaik menggantikannya esok.

“Masa sudah suntuk, kami perlu bersedia secepat mungkin. Meskipun, peluang untuk Wan Nin masih samar-samar, berdasarkan pengalaman saya dia tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang saingan yang turut diadakan di London, Januari ini.
“Dalam masa sebulan saja lagi mustahil untuk Wan Nin pulih dan jika dia dibenarkan beraksi sekalipun pasti sukar buatnya melakukan yang terbaik. “Sebagai persediaan awal, kami sudah menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga gimnas pilihan dan akan memilih yang terbaik pada mesyuarat itu nanti,” katanya.

Wan Nin, 16, yang menjadi prospek emas negara di Sukan Sea terpaksa melupakan impian beraksi di Indonesia selepas tempurung lututnya terkeluar ketika menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), dua hari sebelum saingan.

Kini dia kemungkinan besar terpaksa melupakan saja saingan Olimpik 2012, walaupun Wan Nin dianggap sebagai gimnas terbaik negara selepas pengunduran mengejut Elaine Koon, awal tahun ini.


No comments:

Post a Comment