Saturday 26 November 2011

Zubir makin serasi (27/11/2011)

BERBANDING tiga tonggak pertahanan lain, nama pemain pertahanan kiri skuad Olimpik negara, Mohd Zubir Azmi kurang dikenali peminat tempatan.
Apa tidaknya, dua pertahanan tengah Mohd Fadhli Shas, Mohd Muslim Ahmad dan pertahanan kanan, Mahali Jasuli adalah kesebelasan utama skuad senior negara dan juga untuk skuad bawah 23 tahun pada Sukan Sea baru-baru ini. Manakala Mohd Zubir yang pertama kali bersama skuad senior negara ketika tewas 0-5 kepada Australia, baru-baru ini terpaksa ‘direhatkan’ untuk membolehkan pemain lebih senior, Mohd Asraruddin Putra Omar beraksi pada posisi itu sepanjang saingan Sukan Sea.

Dia hanya berpeluang mempamerkan kebolehannya di final dan berjaya menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin apabila membantu skuad negara mempertahankan pingat emas.
Namun situasi terbabit tidak pernah membuatkan dia berasa rendah diri sebaliknya sentiasa ingin mempamerkan aksi terbaik apabila diperlukan pengendali Olimpik negara, Ong Kim Swee (gambar).

Kelibatnya di pertahanan kiri ketika skuad Olimpik kecundang 0-2 kepada Syria pada Rabu lalu wajar dipuji dan dia berjanji untuk terus mempamerkan aksi terbaik apabila menentang Bahrain, malam ini.

“Kami keletihan pada pertemuan menentang Syria dan kini selepas rehat yang secukupnya, kami sudah cergas dan akan memberikan yang terbaik,” kata pemain berusia 20 tahun itu. Zubir, antara tonggak yang membantu Terengganu muncul juara Piala FA serta naib juara Liga Super dan Piala Malaysia 2011 itu semakin yakin untuk terus menyinar di pentas antarabangsa.
“Sejak bersama skuad Olimpik, tahap keyakinan dan kecergasan saya makin meningkat,” katanya yang membuat penampilan pertama bersama skuad Olimpik negara di pusingan kedua menentang Lubnan, Jun lalu. Kim Swee turut memuji Mohd Zubir yang disifatkan mempunyai karektor yang amat baik.

“Walaupun tidak beraksi pada peringkat kumpulan Sukan Sea, dia tetap mempamerkan karektor positif dalam sesi latihan dan hanya menunggu peluang untuk beraksi apabila diperlukan.
“Dia adalah contoh yang baik kepada semua pemain skuad ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment