Tuesday 29 November 2011

Barca perlu meningkat (30.11.2011)

MADRID: Juara liga Sepanyol, Barcelona sudah mempamerkan aksi terbaik, namun mereka perlu meningkat ke satu tahap lagi, kata jurulatihnya, Pep Guardiola.
Barcelona ketika ini mengejar seteru utama, Real Madrid yang selesa dengan kelebihan enam mata selepas anak buah Guardiola tewas mengejut 0-1 kepada Getafe, Sabtu lalu dan Guardiola meminta pemainnya mempamerkan aksi lebih baik apabila bertemu Rayo Vallecano, hari ini.

“Kami sudah beraksi baik pada musim ini,” kata pengendali berusia 40 tahun itu yang sudah membimbing kelab itu meraih tiga kejuaraan sepanjang tiga tahun kendaliannya.
“Tapi ia masih belum mencukupi. Oleh itu, kami perlu meningkatkan lagi aksi kami. Adakah ia cukup untuk menobatkan kami sebagai juara? Saya tidak mempunyai jawapan tepat.” Guardiola yang mengecapi kegemilangan sepanjang kariernya sebagai pemain Barcelona iaitu dengan memenangi enam kejuaraan liga serta Piala Eropah pada 1992, bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat Real Madrid adalah pasukan terbaik setakat ini.

Beliau turut mengaku pasukannya memperoleh keputusan hambar di tempat lawan yang menyaksikan mereka hanya meraih sembilan daripada 18 mata maksimum.

“Aksi di tempat lawan menjejaskan kami. Tapi kami juga sebenarnya tidak mahu mencicirkan mata.


“Dalam setiap perlawanan di tempat lawan, kami mencipta banyak peluang berbanding lawan.

“Namun ia masih belum mencukupi. Kami perlu beraksi lebih baik lagi selepas ini.” - AFP

No comments:

Post a Comment