Tuesday 29 November 2011

Raikkonen sah kembali (30.11.2011)

HELSINKI: Lotus Renault GP mengesahkan bekas juara dunia, Kimi Raikkonen akan kembali bersaing dalam Formula Satu (F1) musim depan selepas menandatangani kontrak dua tahun bersama pasukan itu.
Pelumba Finland yang meninggalkan F1 pada hujung 2009 kerana mahu beraksi pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) selama dua tahun pernah menjulang gelaran juara F1 pada 2007 ketika bersama Ferrari.

Lotus Renault GP akan turut mengumumkan seorang lagi pelumba selepas Robert kubica mengesahkan tidak akan kembali untuk musim depan minggu lalu kerana masih dalam proses pemulihan berikutan kecederaan yang hampir meragut nyawanya Februari lalu.
Mengulas kemunculan semula dalam kancah F1, Raikkonen berkata: “Saya gembira dapat kembali beraksi dalam F1 selepas berehat selama dua tahun dan amat berterima kasih kepada Lotus Renault GP kerana menawarkan peluang ini.

“Sepanjang beraksi pada Kejohanan Rali Dunia, ia memberi satu pengalaman yang berguna dalam karier seorang pelumba namun saya tidak dapat menafikan keinginan saya untuk kembali beraksi dalam F1 begitu meluap-luap.

“Ia adalah satu pilihan yang mudah untuk kembali bersama Lotus Renault GP kerana saya begitu kagum dengan cita-cita pasukan ini. Kini saya perlu memandang ke depan dan memainkan peranan penting bagi memastikan pasukan ini sentiasa berada di petak utama.” Pemilik pasukan Gerard Lopez berkata: "Sepanjang tahun, kami sentiasa mengatakan pasukan kami akan menggunakan satu kitaran jenama baru. Mereka yang berada di belakang tabir sentiasa berusaha keras bagi membentuk satu struktur terbaik untuk memastikan kami mampu bersaing pada tahap tertinggi.

“Keputusan Raikkonen untuk kembali dalam F1 bersama kami adalah langkah awal daripada beberapa pengumuman yang akan menyaksikan kebangkitan kami sebagai pesaing utama pada masa depan. Sudah tentu kami teruja untuk bekerjasama dengan juara dunia.

“Bagi kakitangan kami, kami mengalu-alukan kedatangan Raikkonen ke Enstone yang sentiasa dikenali dengan pendekatan kemanusiaan dalam F1." Sebelum berehat selama dua tahun, Raikkonen meraih 18 kemenangan, 62 podium dan 16 petak utama. - Agensi

No comments:

Post a Comment