Saturday 26 November 2011

Mancini positif (27/11/2011)

LIVERPOOL: Roberto Mancini yakin Manchester City mampu melupakan kekecewaan Liga Juara-Juara untuk meneruskan perjuangan menguasai takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mengatasi Liverpool, malam ini.
Peluang City mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara begitu tipis selepas tewas 1-2 kepada Napoli, Rabu lalu.

Mereka kini perlu menewaskan Bayern Munich pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan berharap Villarreal yang belum meraih sebarang mata daripada lima perlawanan, mampu seri atau menewaskan Napoli.
Sekurang-kurangnya, saingan di peringkat domestik lebih positif apabila City menang 11 perlawanan dan seri satu daripada 12 perlawanan EPL musim ini.

City bangkit daripada kekalahan di Eropah sebelum ini, tewas 0-2 kepada Bayern Munich, September lalu dengan sembilan kemenangan berturut-turut dan Mancini yakin mampu mengulanginya di Anfield.

“Saya kecewa dengan keputusan di Naples. Kami menguasai lebih 30 peratus permainan dan melakukan 18 percubaan berbanding 11 yang dilakukan mereka. “Saya yakin Villareal mampu mampu atau seri dengan Napoli jika mereka bermain dengan baik. Pada masa ini, ia bergantung kepada keputusan pasukan lain tetapi saya tidak fikir kesannya akan berterusan.
“Perlawanan hari ini pasti sukar kerana Liverpool mungkin ketinggalan 11 atau 12 mata di belakang kami tapi mereka memiliki pasukan mantap yang mampu menjuarai liga.

“Skuad Liverpool, Arsenal dan Chelsea berpeluang untuk merebut gelaran.
“Penting untuk kami bermula dengan baik. Ia pasti satu perlawanan yang sukar tapi saya harap kami akan terus menang dan menjaringkan gol.” Mancini akan berdepan Craig Bellamy buat kali pertama, sejak pemain Wales itu dilepaskan dari Stadium Etihad secara percuma musim ini.

Bellamy, 32, dipinjam kepada pasukan liga Kejuaraan, Cardiff City musim lalu selepas berselisih faham dengan Mancini tapi pengurus kelahiran Itali itu menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan pemain itu.

“Saya gembira dengan perkembangannya. Saya lihat aksinya ketika bertemu Chelsea dan dia bermain dengan baik. Jika dia gembira, saya turut gembira,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment