Thursday 24 November 2011

Tiller menyengat (25.11.2011)

LANGIT gelap bertukar cerah pada hari ketiga Kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong semalam.
Tanpa hujan dan angin kencang, kini giliran pelumba muda New Zealand, William Tiller mengungguli pusingan liga dengan enam kemenangan dan dua kekalahan.

Pelayar berusia 21 tahun yang layak menyertai Piala Monsun selepas menjuarai pertandingan kelayakan peringkat Asia bulan lalu, kini sah ke suku akhir selepas menewaskan pendahulu Siri Jelajah Dunia (WMRT), Ian Williams yang mewakili pasukan GAC Pindar, Torvar Mirsky (Pasukan Wave Muscat), Damien Ielh (France Match Racing) dan pelayar negara, Jeremy Koo (Abullah Chan-Koo Racing).
Tiller hanya kalah sekali di tangan pelayar Denmark, Jesper Radich (Adrian Lee dan Partners), semalam serta masih perlu berlumba dengan pelayar Itali, Francesco Bruni (Bruni Racing), dan dua pelayar Sweden, Bjorn Hansen (Mekonomen Racing) dan Johnie Berntsson (Berntsson Sailing).

“Hari ini cukup baik untuk kami apabila berjaya menewaskan musuh tradisi, The Wave Muscat, yang diketuai Mirsky,” katanya.

Pelayar Itali, Bruni, menunjukkan belangnya di awal hari ketiga selepas menang lima kali berturut-turut ke atas Iehl, Radich dan Koo sebelum tewas kepada Berntsson dan pelayar New Zealand, Phil Robertson (Waka Racing).
Bruni hampir layak ke suku akhir, sama seperti Hansen yang mempunyai lima mata dari lima kemenangan termasuk tiga kali menang pada saingan hari kedua ketika hujan lebat.

Namun perlumbaan semalam agak sukar buat Hansen yang tewas tiga perlumbaan di sebelah pagi kepada Bruni, Mirsky dan pelumba Australia, Peter Gilmour (Yanmar Racing) tetapi persembahannya kembali bertenaga di sebelah petang apabila menundukkan Robertson dan Mathieu Richard (France Sailing).
“Kami tidak bermula baik dan sukar untuk kembali bersaing selepas ketinggalan. Tetapi nasib kami berubah sebelah petang dengan menang ke atas Radich dan Tiller,” katanya.

Hari ketiga juga baik untuk Robertson yang memiliki lima kemenangan selepas menewaskan Bruni, Mirsky, Gilmour dan Ielh walaupun pelayar berusia 24 tahun itu gagal menundukkan Hansen.

Turut meraih lima mata ialah Berntsson yang menang ke atas Bruni, Mirsky dan Richard tetapi tewas kepada Williams, Gilmour dan Tiller.

Williams yang juga pencabar utama kejuaraan dunia berjaya melupakan kekecewaan kelmarin apabila meraih empat kemenangan ke atas Iehl, Berntsson, Radich dan Koo untuk mencerahkan peluang ke suku akhir.

Tetapi dengan hanya tiga kemenangan setakat ini, Mirsky yang ketinggalan 6.2 mata di belakang Williams dalam carta WMRT perlu memenangi sekurang-kurangnya tiga daripada baki empat perlumbaan dalam pusingan kumpulan.

“Kami tidak berlumba dengan baik dan kini agak tertekan untuk layak ke pusingan seterusnya namun kami masih menaruh harapan tinggi menang semua empat perlumbaan esok (hari ini),” katanya.

No comments:

Post a Comment