Thursday 24 November 2011

SAM anjur Klinik Cub Prix (25.11.2011)

SEMPENA pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Padang Kota Lama, minggu depan, Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) mengambil inisiatif menganjurkan Klinik Motor Cub Prix bersama Shahrol Yuzy Ahmad Zaini untuk orang ramai.
Klinik ini diadakan secara percuma di Dewan Sri Pinang, Lebuh Light pada 3 Disember bermula jam 5 hingga 6.30 petang dan terbuka kepada peserta berumur 13 tahun ke atas.

Objektif utama penganjuran klinik untuk mendidik orang ramai khususnya remaja terhadap sukan permotoran dan langkah betul yang boleh diambil untuk menyalurkan minat mereka. Cub Prix menyediakan landasan terbaik untuk pendatang baru mencungkil bakat dan meneroka potensi sekali gus membantu melahirkan pelumba berbakat untuk sukan pemotoran negara pada masa akan datang.
Klinik ini dikendalikan bekas pelumba MotoGP, Shahrol Yuzy yang juga pengurus pasukan Pachie Yuzy Honda Racing. Program selama satu jam setengah ini akan memperkenalkan peserta kepada dunia sukan lumba motor, panduan mendapatkan lesen perlumbaan, keperluan asas dan peralatan perlumbaan, peraturan dan undang-undang, teknik perlumbaan serta sifat profesional yang perlu ada pada seorang pelumba.

Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg menggalakkan orang ramai khususnya remaja mengambil kesempatan mendapatkan maklumat lanjut sukan lumba motor. “Ia terbuka kepada semua dan percuma. Kepada remaja di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Perak yang berminat ataupun ibu bapa, mereka dijemput menyertai program ini.

“Program ini kali pertama diadakan di Pulau Pinang dan peluang ini tidak boleh dilepaskan begitu saja. Sesi ini sangat menarik dan peserta juga turut dapat bersemuka dengan Shahrol Yuzy,” kata Ron. Sebarang soalan mengenai perlumbaan boleh diajukan kepadanya dan peserta akan menerima jawapan yang dikehendaki daripada seorang pelumba berpengalaman.” Klinik Perlumbaan Cub Prix ini terbuka kepada hanya 400 peserta berminat. Pendaftaran sudah mula dibuka dan tarikh tutup pendaftaran pada 2 Disember jam 5 petang. Mereka yang berminat boleh menghubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 (waktu pejabat) ataupun melalui e-mel dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon (telefon bimbit digalakkan) ke alamat info@twmr. com.my.
Maklumat lanjut, sila sila lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com atau menyertai laman Facebook di www.facebook.com/malay siancub prix dan Twitter melalui www.twitter. com/msiancubprix.

No comments:

Post a Comment