Monday 21 November 2011

Tiada pencabar! (22/11/2011)

SKUAD renang berirama negara membuktikan tiada siapa mampu mencabar keupayaan Malaysia untuk menakluk mahkota juara di Asia Tenggara apabila meraih emas kelima sekali gus menyapu bersih semua emas yang dipertandingkan di Sukan Sea ke-26.
Perenang negara diketuai dua senior Png Hui Chuen dan Katrina Ann Abdul Hadi turun dengan semangat jitu dalam acara berpasukan kombinasi rutin untuk memastikan prestasi 2001 diulang sekali lagi.

Sepuluh perenang negara terakhir turun ke kolam langsung tidak menampakkan aksi goyah meskipun seorang anggota, Zylane Lee masih kesakitan akibat kecederaan bahagian belakang tubuhnya yang dialami ketika menjalani latihan.
Diiringi lagu tema filem animasi antarabangsa Rio, lenggok badan dan gerak tari perenang negara terus memikat penonton di Pusat Akuatik Jakabaring yang pada awalnya mengejek-ejek pada saat nama pasukan negara diumumkan.

Berbekalkan mata teknikal 37.213 mata dan persembahan artistik 38.150 mata, skuad negara terus melonjak ke kedudukan teratas mengatasi Vietnam, Thailand, Indonesia dan Singapura dengan mata keseluruhan 75.363 mata.

Singapura kedua ketinggalan 2.262 mata terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Indonesia 71.713 mata pingat gangsa.
“Memang saya kesakitan sebelum turun ke kolam lagi tapi saya amat bangga kerana mendapat pingat emas,” kata Zylane yang dinasihatkan doktor supaya tidak mengambil bahagian.

“Ini kemahuan saya sendiri. Saya mahu membantu negara memburu koleksi emas kelima, lagipun tiada siapa lagi yang boleh mengisi kekosongan ini kerana ini saja perenang berirama yang ada.” Zylane, 19, mengalami kecederaan ketika menjalani latihan pada Deepavali lalu dan sekali lagi mengalaminya seminggu selepas itu.
“Dalam latihan, saya terkena tendangan rakan di leher sebanyak dua kali. Malah sejurus terjun ke kolam renang tadi, ketika melakukan julangan rakan sepasukan, saya sekali lagi terkena tendangan tapi saya bertahan kerana mahu rutin kami berjaya,” kata Zylane yang mendedahkan bahawa doktor memberi amaran jika terkena tendangan sekali lagi dia mungkin lumpuh tapi bernasib baik tendangan semalam agak perlahan dan tidak terkena saraf tunjang.

“Saya tujukan emas ini untuk rakan sepasukan, ibu bapa dan untuk saya sendiri kerana apa yang saya lakukan ini berbaloi.

“Pingat emas memang menjadi motivasi saya dan ibu bapa yang sentiasa menghubungi saya setiap hari bertanyakan khabar, meningkatkan lagi keazaman untuk menang,” katanya yang turut ditemani kakaknya Zyanne Lee dalam skuad itu.

No comments:

Post a Comment