Monday, 21 November 2011

Matin yakin potensi atlet angkat berat wanita (22/11/2011)

JURULATIH pelapis angkat berat negara, Matin Guntali berharap peminat sukan angkat berat tidak kecewa dengan persembahan atlet wanita sepanjang temasya Sukan Sea Indonesia ke-26.
Katanya, atlet yang beraksi sebahagian besarnya adalah muka baru serta masih mentah di saingan antarabangsa apa lagi di temasya ini yang dikuasai atlet Indonesia dan Thailand.

“Memang kami gagal meraih pingat emas tetapi ini adalah gelanggang pendedahan kepada mereka.
“Malah mereka tidak diletakkan sebarang sasaran kerana memang sudah diketahui bahawa saingan dari negara Asia Tenggara sukar.

“Ini satu pendedahan. Atlet wanita negara terdiri daripada mereka yang sebelum ni hanya beraksi di Sukma (Sukan Malaysia) saja.

“Biarpun begitu saya dapat lihat adanya peningkatan daripada segi angkatan dan saya yakin jika mereka terus diberi peluang, harapan untuk mendapatkan pingat di Sukan Komanwel nanti cerah,” katanya. Dua tahun lalu di Laos, skuad angkat berat sekadar membawa pulang tiga perak dan dua gangsa.
Saingan kategori 53kg menyaksikan penguasaan atlet Thailand manakala dua wakil negara, Azizah Fadzil sekadar menduduki tempat kelima dengan angkatan 176kg dan Sharifah Inani Najwa, 77kg.

Dalam saingan 58kg, Frenceay Titus berada di tempat kelima (176kg) manakala Elyone Matin menduduki tempat keenam (167kg).


No comments:

Post a Comment