Friday 25 November 2011

Sukma ditunda! (26.11.2011)

TARIKH penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) XV Pahang 2012 yang sebelum ini ditetapkan pada Jun berkemungkinan besar akan ditunda ke bulan berikutnya berikutan cuti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak selaras dengan cuti persekolahan biasa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Sukma XV Pahang 2012, Ahmad Hairi Hussain berkata, perubahan tarikh itu terpaksa dilakukan kerana sebahagian besar IPT di negeri ini akan menjadi lokasi penginapan atlet yang beraksi sepanjang kejohanan itu.

Bagaimanapun, menurutnya, keputusan muktamad berhubung tarikh sebenar Sukma akan hanya diumum selepas Jawatankuasa Induk Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bermesyuarat hujung bulan ini.
“Sebenarnya, Sekretariat Sukma XV Pahang baru saja dimaklumkan mengenai perubahan jadual cuti semester IPT yang tidak sama dengan cuti persekolahan.

“Disebabkan semua atlet akan ditempatkan di IPT, Julai adalah tarikh paling sesuai bagi penganjuran sukan ini. Bagaimanapun, keputusan muktamad akan hanya diketahui tidak lama lagi,” katanya di Kuantan, semalam.

Antara IPT yang akan menjadi kediaman rasmi atlet ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Kuantan.
Pada kejohanan itu, kira-kira 8,000 atlet dan pegawai akan berkampung di Pahang, khususnya di Kuantan, Pekan dan Temerloh pada Sukma Pahang 2012.

Daripada 24 acara yang dipertandingkan, 20 daripadanya akan berlangsung di Kuantan, manakala masing-masing dua acara di Pekan iaitu golf dan angkat berat serta Temerloh (silat dan berbasikal).
Mengulas tahap persiapan dan persediaan penganjuran, Ahmad Hairi berkata, setakat ini, pihaknya puas hati dengan kelancaran jawatankuasa kecil yang dilantik sekretariat.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman Pahang selaku penganjur Sukma 1996, sekretariat mengharapkan segala perancangan termasuk pembinaan tiga gelanggang baru dapat disiapkan sebelum sukan itu bermula.

“Projek pembinaan tiga gelanggang baru ialah ekuestrian, lapang sasar menembak dan Stadium Hoki mini sudah bermula dan dijangka siap mengikut jadual ditetapkan.

“Kita percaya tiga gelanggang baru ini serta kerja menaik taraf kemudahan sukan di Kuantan tidak menghadapi sebarang kelewatan hingga menjejaskan persiapan Pahang sebagai tuan rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment