Friday 25 November 2011

Penentuan juara dunia (26.11.2011)

KEJUARAAN Siri Jelajah Kapal Layar Dunia (WMRT) kini bakal menjadi rebutan dua pelayar saja selepas pelumba Australia, Torvar Mirsky yang mewakili Pasukan Wave Muscat kecundang di pusingan awal Piala Monsun di Pulau Duyong, semalam.
Pelayar Britain, Ian Williams (GAC Pindar) dan pelumba Itali, Francesco Bruni (Bruni Racing) tidak perlu menunggu lama untuk menentukan kejuaraan dunia kerana mereka bakal berentap di pusingan suku akhir hari ini.

Williams yang mendahului carta siri jelajah dengan 106 mata bakal menjadi juara dunia sekiranya menewaskan Bruni yang ketinggalan enam mata, namun pelayar Itali itu pula akan menjadi juara dunia sekiranya layak ke separuh akhir.
Williams berkata, nasib menyebelahinya setakat ini kerana sepatutnya dia tidak mampu mara ke suku akhir selepas ketinggalan jauh di belakang Bruni dalam perlumbaan peringkat kumpulan.

“Saya hampir putus asa kerana ketinggalan terlalu jauh di belakang dan sekiranya tewas perlumbaan itu, saya akan terkeluar di pusingan awal dan Torvar (Mirsky) pula yang layak.

“Namun nasib saya amat baik kerana kapal layar Bruni seakan tersekat ketika hampir dengan garisan penamat dan saya dapat mengejar dan melintas garisan penamat beberapa saat lebih awal,” katanya.
Bruni pula meminta maaf kepada Mirsky dan menyatakan apa yang terjadi ketika berlumba dengan Wiliams tidak disengajakan.

“Sesuatu yang saya tidak pasti berlaku dan ia menyebabkan kapal layar tidak bergerak ke hadapan dan kami di atas kapal bingung dengan apa yang terjadi.
“Dalam perlumbaan penentuan dengan Mirsky pula, kami juga hampir tewas namun nasib menyebelahi kami apabila dapat mencatat kemenangan yang membawa kami ke suku akhir,” katanya.

Setakat ini, saingan Piala Monsun dikuasai pelayar New Zealand apabila pelumba muda, William Tiller (Full Metal Jacket Racing) muncul juara peringkat kumpulan diikuti Phil Robertson (Waka Racing).

Tiller yang baru berusia 21 tahun dan layak ke Piala Monsun selepas menang pertandingan kelayakan peringkat Asia memilih pelayar Sweden, Johnie Berntsson (Berntsson Sailing) untuk menjadi lawannya di suku akhir.

“Kami terlalu gembira kerana muncul juara peringkat kumpulan dan kini kami akan berusaha untuk menjadi juara Piala Monsun pula.

“Kami memilih Berntsson kerana dia tamat pusingan awal di tangga kelapan dan kami akan kelihatan bodoh sekiranya memilih pelumba lain,” katanya sambil berseloroh.

Robertson pula memilih juara dunia empat kali, Peter Gilmour untuk menjadi lawan suku akhirnya walaupun dia tahu pelayar Australia itu memiliki pengalaman luas.

“Kami menewaskan Gilmour di pusingan awal dan kami harap dia akan tewas sekali lagi di tangan kami di suku akhir,” katanya.

Satu lagi perlumbaan suku akhir menyaksikan pelayar Sweden, Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing) berentap dengan pelumba Denmark, Jesper Radich (Adrian Lee and Partners).

Hansen berkata, dia tewas di tangan Radich di perebutan tempat ketiga Piala Monsun tahun lalu dan berhasrat membalas dendam kali ini.

Tiga lagi pelayar yang gagal ke suku akhir ialah Damien Ielh (French Match Racing), Mathieu Richard (French Sailing) dan Jeremy Koo (Abdullah Chan – Koo Racing Team).

No comments:

Post a Comment