Friday 25 November 2011

Spurs mampu buru gelaran liga (26.11.2011)

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp yakin skuad kendaliannya menjadi salah satu pasukan yang memburu gelaran Liga Perdana musim ini apabila turun berdepan West Bromwich Albion di tempat lawan, malam ini.
Spurs tewas dalam dua aksi awal liga iaitu kepada juara bertahan, Manchester United dan pendahulu liga, Manchester City.

Namun selepas meraih 25 daripada 27 mata, Redknapp membimbing kelab utara London itu ke tempat ketiga menjelang kunjungan ke Hawthorns.
Ketika Arsenal kembali beraksi dengan cemerlang dan Liverpool yang semakin membara selepas menewaskan Chelsea, Redknapp yakin tidak mustahil juara berlainan akan muncul selepas tujuh tahun dimonopoli United dan Chelsea.

“Kami beraksi dengan baik,” katanya. “Enam pasukan teratas bersaing sengit, Arsenal sudah kembali menyengat dan kini beraksi dengan baik.

“Liverpool mempamerkan persembahan hebat di Chelsea dan mereka meningkat serta Chelsea, Man United dan Man City akan sentiasa berada pada tahap itu.” City menewaskan Spurs 5-1 di White Hart Lane awal musim ini namun Redknapp menegaskan skuadnya kini berbeza.
Ledley King menangani kecederaan lututnya dan lebih kerap beraksi, ketidakpastian masa depan Luka Modric sudah diketepikan dan ketibaan Emmanuel Adebayor serta Scott Parker menyajikan perbezaan aksi yang besar.

“Kami menewaskan Liverpool dan Arsenal di laman sendiri, Man City meledak lima gol ketika menentang kami namun ia tidak akan berulang lagi. Kami kini berbeza,” kata Redknapp.
“William Gallas mempamerkan persembahan hebat untuk kami musim lalu, dia cergas namun tidak merebut kembali tempatnya. Michael Dawson dan Tom Huddlestone pula cedera, Sandro beraksi untuk Brazil minggu lalu dan berada di bangku simpanan. Dia pemain yang berbakat besar, pemain muda yang hebat.

“Jermain Defoe turut gagal berada dalam kesebelasan utama, dua pemain Croatia (Niko Kranjcar and Vedran Corluka) yang layak pusingan akhir Euro, juga demikian kerana kami mempunyai kumpulan pemain bagus dan pasukan yang lengkap.” - AFP

No comments:

Post a Comment