Friday 25 November 2011

United membara (26.11.2011)

MANCHESTER (England): Manchester United akan cuba melupakan kekecewaan Liga Juara-Juara dengan cuba menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan Liga Perdana pada pertemuan menentang Newcastle, malam ini.
Keputusan seri 2-2 dengan Benfica di laman sendiri, pada pertengahan minggu memaksa United mengelak daripada tewas pada perlawanan terakhir kumpulan di FC Basel bulan depan bagi mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati kejohanan utama kelab Eropah itu.

Pada saingan tempatan, United kini ketinggalan lima mata kepada pendahulu, Manchester City yang berkunjung ke Liverpool, esok.
Newcastle tewas kali pertama pada musim ini, 1-3 kepada City minggu lalu manakala kekalahan 1-6 United kepada skuad kendalian Roberto Mancini itu adalah kekalahan tunggal setakat ini.

Satu lagi kekalahan di United akan memberi peluang kepada City untuk menjarakkan kedudukan mata di tangga teratas.

Namun Pengurus United, Sir Alex Ferguson tidak memandang rendah keupayaan Magpies.
Pengurus veteran itu mengagumi usaha pengurus Newcastle, Alan Pardew yang membawa kelab itu ke kelompok atas liga walaupun berdepan kekangan berbelanja.

Ferguson menegaskan West Ham dan Southampton tidak matang apabila memecat Pardew dan berkata: “Saya menghormati Pardew. “Beliau tidak dilayan dengan adil di West Ham dan Southampton. “Dia membimbing West Ham ke final Piala FA dan tidak bertuah kerana seminit lagi, dia akan menjadi juara. Alan sudah melakukan tugas yang hebat di Newcastle.
“Beliau merangsang mereka untuk bersaing sesama sendiri. Saya menonton perlawanan ketika mereka terikat 2-2 dengan Tottenham di laman sendiri dan hingga ke penghujung, kedua-dua pasukan cuba memenangi perlawanan.

“Pemain kedua-dua pasukan mempamerkan sikap ymatang. Mereka berjuang untuk setiap bola.

“Apabila anda melihat Newcastle melakukannya dengan sokongan padu di belakang mereka, pastinya perlawanan ini sukar.” Skuad kendalian Ferguson kehilangan khidmat Wayne Rooney yang mengalami kecederaan pinggul pada pertemuan itu. - AFP

No comments:

Post a Comment