Tuesday 22 November 2011

Skuad Karate malang (23/11/2011)

KECUALI Jamalliah Jamaludin dan mutu pengadilan yang diragui, skuad karate negara sepatutnya mampu melakar kejayaan lebih gemilang pada temasya Sukan Sea ke-26 selepas sekadar membawa pulang empat emas, dua perak dan lapan gangsa.
Sekalipun ia melebihi sasaran MSN (tiga emas), mereka sepatutnya berhak menyumbang sekurang-kurangnya tiga pingat emas lagi menerusi Jamalliah (kumite wanita 68kg ke atas), Ricky Leong (individu kata lelaki) dan pasukan kumite wanita.

Jamalliah, pemenang pingat perak Sukan Asia Guangzhou 2010, kecundang pada separuh akhir di tangan juara dari Vietnam, Trang Thach Thi manakala Ricky, juara Asia, dan pasukan kumite wanita dinafikan emas berdepan peserta tuan rumah, Indonesia.
Tidak hairan, P Arivalagan, ketua jurulatih kontroversi yang menuduh ada pegawai Malaysia yang menghasut juri pertandingan, bertindak berani mendedahkan perkara itu walaupun kedudukannya pasti terjejas.

Mutu pengadilan yang berat sebelah bukan perkara baru dalam kancah pertandingan pada temasya Sukan Sea terutama bagi sukan subjektif seni mempertahankan diri seperti karate, judo, taekwondo dan pencak silat.

Oleh itu, Persekutuan Sukan Sea (SGF) perlu lebih tegas dengan tidak membiarkan tuan rumah sewenang-wenangnya memilih juri mahupun pengadil pilihan mereka.
Di sebalik mutu pengadilan yang diragui, anak buah Arivalagan tetap membanggakan dengan empat pingat emas, tiga menerusi acara kumite lelaki dan satu dari wanita.

Shaharudin Jamaludin, adik Jamalliah, memulakan kutipan dengan emas dalam acara bawah 75kg, diikuti R Loganeshaa Rao (bawah 55kg) dan K Teagarajan (bawah 84kg) manakala emas tunggal wanita menerusi G Yamini dalam acara kumite bawah 61kg.

No comments:

Post a Comment