Sunday 13 November 2011

Sepanyol tak terjejas (14/11/2011)

LONDON: Xabi Alonso menegaskan Sepanyol masih pasukan yang sukar untuk ditewaskan pada saingan Euro 2012 meskipun dia serta rakan sepasukan tewas 0-1 pada perlawanan persahabatan kepada England di Wembley.
Skuad kendalian Vicente del Bosque yang dibarisi ramai pemain bintang gagal menyinar selepas tewas kali kedua dalam 10 perlawanan dan ia adalah kekalahan pertama mereka kepada England sejak 2001.

Meskipun Alonso serta rakan sepasukannya di Sepanyol menguasai permainan namun mereka masih tidak mampu merobek benteng kukuh England.
Bagaimanapun, pemain tengah Real Madrid itu berkata, kekalahan itu tidak akan menjejaskan aksi mereka dalam tempoh yang panjang terutama pada saingan Euro 2012.

“Kami menguasai permainan tapi sukar untuk mencipta peluang kerana England bermain secara bertahan.

“Saya tidak rasa ia memberi impak besar kepada kami. Pendekatan kami tetap sama. Kami bermain dengan baik, cuma tidak bernasib baik apabila kalah.

“Mereka bernasib baik kerana dapat menjaringkan gol. Apapun, kami perlu beraksi lebih baik lagi.” Sepanyol sudah tewas empat kali pada perlawanan persahabatan sejak menjuarai Piala Dunia tapi berjaya melangkah ke saingan Euro 2012 dan Alonso mengakui agak sukar untuk mereka mendapat tonik terbaik pada perlawanan yang kurang penting.

Dia berkata, kekalahan itu akibat kurangnya motivasi di kalangan pemain selain kekurangan tumpuan menyaksikan Frank Lampard berjaya meledakkan gol tunggal pada minit ke-49.

“Pada perlawanan persahabatan anda perlu cuba untuk bersaing sengit kerana ia juga perlawanan kompetitif tetapi kadangkala anda tidak dapat melakukannya. “Kami sudah melalui banyak perlawanan kompetitif dan memenanginya tetapi pada perlawanan persahabatan, keputusan kami kurang memberangsangkan.” - AFP

No comments:

Post a Comment