Sunday 13 November 2011

Selecao uji Mesir (14/11/2011)

DOHA: Brazil bakal membuat penampilan ketiga hari ini di Doha dengan bertemu gergasi Afrika, Mesir pada perlawanan persahabatan yang dilangsungkan untuk mengutip dana bagi membantu rakyat Somalia yang kebuluran.
Perlawanan itu peluang keemasan untuk Selecao menguji barisan pemainnya, terutama untuk Piala Dunia 2014 yang menyaksikan Brazil menjadi tuan rumah.

Selepas tersingkir pada suku akhir Piala Dunia di Afrika Selatan tahun lalu sekali gus menyaksikan penyingkiran jurulatih, Dunga, Brazil berdepan tekanan daripada media serta penyokong untuk mempersiapkan pasukan yang mantap bagi saingan 2014 nanti.
Jika gagal menjulang Piala Dunia di halaman sendiri pasti ia malapetaka besar kepada Brazil, senario yang sudah diketahui oleh jurulatih, Mano Menezes serta pemain, lebih-lebih lagi selepas mereka turut tersingkir di suku akhir Copa America.

Sehingga kini, Menezes menggunakan perlawanan persahabatan untuk mencuba pelbagai kombinasi dalam usahanya untuk mencari bakat terbaik.

Tetapi dengan kejohanan kebangsaan Brazil sudah semakin hampir, beliau diminta untuk bergantung sepenuhnya kepada pemain yang berpangkalan di luar negara ketika bertemu Gabon minggu lalu serta apabila bertemu Mesir hari ini.

Bagaimanapun, pemain bintang seperti Kaka dan Marcelo dari Real Madrid tidak akan bersama skuad untuk aksi bertemu Mesir kerana kecederaan.

Pemain berusia 19 tahun, Neymar yang disebut-sebut bakal menjadi tonggak utama pada 2014, turut tidak akan bermain kerana komitmennya bersama Santos.

Neymar yang sering dibandingkan dengan legenda, Pele sudah melakukan 13 daripada 15 penampilan bersama Brazil sepanjang tahun ini dengan meledak tujuh gol.

Ia sekali gus menyaksikan Brazil hanya dibarisi empat pemain yang pernah meledak gol di saingan antarabangsa iaitu Daniel Alves dengan lima gol, Luisao (3 gol) dan Hernanes serta Sandro masing-masing satu selepas menjaringkan gol ketika bertemu Gabon minggu lalu.

Penyerang Porto, Hulk juga berdepan tekanan apabila gagal menjaringkan gol pada enam penampilan walaupun cemerlang meledak 35 gol untuk kelabnya musim lalu.

“Skuad Brazil ketika ini bukanlah yang terbaik di dunia kerana keputusan sudah membuktikannya,” kata Menezes.

“Kami berada di belakang Sepanyol, Belanda, Jerman dan Uruguay dalam ranking Fifa. Kami perlu berada pada peringkat tertinggi itu sekali lagi,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment