Sunday 13 November 2011

Lampard bangga (14/11/2011)

LONDON: Kapten England, Frank Lampard berkata, aksi England ketika menewaskan juara Piala Dunia dan Eropah, Sepanyol adalah antara saat paling manis sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak.
Lampard sudah mengecapi banyak kejuaraan ketika bersama Chelsea tapi pencapaian cemerlang pada pentas antarabangsa bersama England agak sukar dikecapinya. Ketika Lampard sudah boleh bermegah dengan pencapaian meraih kejuaraan liga, Piala FA dan Piala Liga ketika di Stamford Bridge, kariernya bersama England sering diselubungi dengan kegagalan pasukannya dalam saingan besar.

Jadi, pemain berusia 33 tahun itu layak berasa bangga apabila gol tunggalnya membantu England mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Sepanyol pada perlawanan persahabatan awal pagi semalam sekali gus kejayaan itu dianggap sebagai keputusan yang terbaik pernah dikecapi England pada aksi antarabangsa selepas hampir 40 tahun.
Lampard mungkin dipilih menjadi kapten pasukan selepas John Terry yang juga rakan sepasukannya di Chelsea direhatkan oleh Capello namun dia berjaya memikul tugas itu dengan cemerlang dan meraikan penampilan ke-90 bersama England dengan penuh bergaya.

“Saya sudah mencapai banyak kejayaan, tetapi kejayaan kali ini bersama England mengambil masa yang agak panjang,” kata Lampard.

“Bersama Chelsea memenangi liga adalah kejayaan membanggakan tapi memikul tugas sebagai kapten dan menyumbang gol kemenangan ketika bertemu juara Piala Dunia juga adalah kejayaan yang cukup membanggakan. “Sudah tentu akan mengingati kejayaan ini sepanjang hidup saya. “Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol untuk pasukan. “Ia menjadi perlawanan yang besar untuk saya ingat selama-lamanya. “Mungkin ini kali terakhir saya memikul tugas sebagai kapten England. Harap saya dapat menggalas tugas ini lagi selepas ini.” Lampard yang menjaringkan gol tunggal pada minit ke-49 selepas menyempurnakan bola muntah hasil tandukan Darren Bent turut bertindak cemerlang mengemudi jentera tengah sepanjang permainan. - AFP

No comments:

Post a Comment