Thursday 24 November 2011

Safiq tekad tambat hati Cardiff (25.11.2011)

SELEPAS Safee Sali menjalani ujian selama dua minggu September lalu, kini giliran ketua pasukan kebangsaan Safiq Rahim untuk menambat hati kelab Cardiff City yang dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Pemain tengah berusia 24 tahun dari Selangor itu tiba di kelab itu dengan harapan tinggi untuk menjadi pemain bola sepak pertama negara ini beraksi di Liga Inggeris di samping meningkatkan kerjayanya ke peringkat lebih tinggi.

Safee, bekas rakan sepasukan Safiq di Selangor serta skuad kebangsaan yang kini beraksi dengan Pelita Jaya dalam Liga Super Indonesia, begitu menyerlah untuk menambat hati pengurus Cardiff, Malky Mackay ketika dia menjalani ujian dua minggu di kelab itu.
Dia yang turut digelar ‘Beckham Malaysia’ oleh akhbar Wales dijangka diberikan peluang untuk menghadiri ujian kedua oleh Cardiff. Safiq, dikenali kerana kehandalannya menjaringkan gol melalui sepakan percuma, pada mulanya dijadual terbang ke Cardiff Ogos lalu tapi terpaksa ditangguhkan kerana komitmen bersama Selangor dalam saingan Piala Malaysia.

Safiq menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool sewaktu Malaysia tewas 3-6 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Julai lalu.

“Inilah peluang yang saya nanti-nantikan. Peluang terbaik untuk saya menunjukkan kemahiran. Saya tahu ia sukar tapi tiada yang mustahil. Sudah tiba masanya kita menunjukkan ada pemain bola sepak yang berkualiti dari Malaysia,” kata Safiq yang menerajui skuad kebangsaan ketika menentang Arsenal dan Liverpool.
Menurut Safiq, dia diberitahu oleh Safee yang latihan di Cardiff lebih profesional dan bertaraf tinggi.

“Apapun keputusannya nanti, saya harap dapat belajar teknik permainan yang baik ketika menjalani ujian di Cardiff dan membawa permainan saya ke tahap lebih tinggi. “Tapi, sudah semestinya, impian saya adalah untuk menjadi pemain pertama Malaysia bermain di England.” Cardiff City dimiliki taikun perniagaan, Datuk Chan Tien Ghee yang menaruh harapan untuk menyaksikan ramai rakyat Malaysia beraksi secara profesional di England.
“Kami gembira kerana dapat memberi peluang untuk Safiq berlatih di Cardiff selama tiga minggu. Dia akan dijaga dengan baik sepanjang tempoh itu dan akan diberi peluang berlatih bersama pasukan pertama,” kata Tien Ghee.

No comments:

Post a Comment