Thursday 24 November 2011

Arsenal mara (25.11.2011)

LONDON: Dua gol Robin van Persie menghadiahkan tiket buat Arsenal ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah apabila menundukkan juara Jerman, Borussia Dortmund, 2-1.
Pemain antarabangsa Belanda itu kini mengumpul 21 gol dalam semua kejohanan dan jaringan di babak kedua menghadiahkan Arsenal tangga teratas Kumpulan F dengan baki satu perlawanan.

Jaringannya turut membuktikan pentingnya kelibat kapten Arsenal itu di atas padang selepas pulih daripada permulaan hambar di awal musim.
Van Persie meledak gol pada minit ke-49 dan m-86 untuk melenyapkan cabaran kelab Bundesliga itu.

Meskipun pemain antarabangsa Jepun, Shinji Kagawa menjaringkan gol pada masa kecederaan, ia sudah terlambat untuk menghalang Arsenal mara ke pusingan kedua buat kali ke-12 berturut-turut.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memuji sumbangan Van Persie pada pertemuan itu.
“Ada masanya dia (Van Persie) tidak perlu bekerja keras untuk menjaringkan gol, tuah memihak kepadanya,” kata Wenger.

Pemain tengah Arsenal, Alex Song, menyifatkan prestasi kaptennya itu sukar dipercayai.
“Dia amat penting dan kami harap dia tidak mengalami kecederaan kerana pastinya keadaan itu menyukarkan Arsenal. Kami perlu pastikan dia berada di tahap terbaik,” kata Song. - AFP

No comments:

Post a Comment