Friday 25 November 2011

Alonso yakin Ferrari rampas gelaran juara dunia 2012 (26.11.2011)

SAO PAULO: Bekas juara Formula Satu (F1), Fernando Alonso yakin Ferrari akan kembali beraksi sebagai juara pada tahun depan selepas gagal menyaingi kehebatan juara musim ini, Red Bull.
Grand Prix Brazil bakal menutup saingan musim ini yang menyaksikan Alonso hanya mampu meraih satu kemenangan di Grand Prix British, Julai lalu.

Tetapi pelumba berusia 30 tahun dari Sepanyol itu berasa Ferrari sudah mempamerkan banyak peningkatan sekali gus memberi keyakinan mereka mampu menjadi pencabar kejuaraan pada tahun depan.
“Saya yakin dapat bersaing untuk gelaran kejuaraan dunia sekali lagi pada tahun depan kerana saya masih kekal bersama Ferrari. “Saya puas hati pencapaian dikecapi sepanjang tahun ini. Kesungguhan pasukan dan peningkatan yang kami tunjukkan menjadikan musim ini lebih cemerlang berbanding tahun sebelumnya.

“Kini saya rasa dengan jentera yang kompetitif, kami pasti lebih hebat dan mampu bersaing untuk kejuaraan dunia.

“Tahun lalu, meskipun dengan jentera yang kompetitif, kami masih kekurangan di beberapa bahagian, seperti ketika permulaan perlumbaan, strategi, kecuaian pemandu serta yang berkaitan dengan perlumbaan ini.
“Tetapi semua masalah itu dapat diatasi pada musim ini saya rasa pasukan ini lebih mantap berbanding tahun lalu. Apa yang hanya kami perlukan ialah kereta yang bagus,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment