Friday 25 November 2011

Pelumba perlu tenang (26.11.2011)

HONDA Promax X-Dot Racing tidak memberi sebarang tekanan kepada pelumba muda mereka dalam kategori Wira Bawah-17 pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang bakal berlangsung di Penang Esplanade, 3 dan 4 Disember ini.
Sebaliknya, pengurus pasukan, Erwan Ahmad ingin Mohd Solehin Mohd Sukor, Mohd Emir Fareez Hasan dan Mohd Hafiz Nor Azman tenang dan menikmati perlumbaan terakhir musim ini kerana sudah terlambat bagi mereka melakukan sebarang percubaan drastik. Tambahan pula gelaran Wira sudah sah milik Zulsyafiz Rosli (MOS Malaysia Racing) pada perlumbaan di Sepang (Pusingan 9) selain jurang mata agak besar antara mereka dan lima pelumba teratas carta keseluruhan.

Pada awal musim, Solehin dan Fareez mempamerkan prestasi memberangsangkan buat pasukan yang berpangkalan di utara tanah air itu. Walaupun pasukan itu masih belum memperoleh rentak, Solehin berjaya menduduki tempat ketiga di Alor Setar (Pusingan 6) manakala Fareez menaiki podium di tempat kedua di Terengganu (Pusingan 3) dan Putrajaya (Pusingan 4).
Namun pada separuh musim kedua, kedua-dua pelumba gagal mengekalkan prestasi. Mereka sering tidak layak ke perlumbaan akhir (DNQ) selain turut gagal menamatkan perlumbaan (DNF) di beberapa pusingan.

Erwan berkata, prestasi mereka bukan disebabkan masalah enjin sebaliknya nasib mereka tidak begitu baik. “Prestasi enjin masih kompetitif dan konsisten. Nasib bagaimanapun tidak begitu menyebelahi kami tapi ia senario biasa dalam perlumbaan. “Pasukan dan juga pelumba melakukan persediaan mencukupi tapi tanpa tuah, tidak ada apa yang boleh dilakukan. Mudah-mudahan nasib malang kami akan berakhir di Pulau Pinang,” katanya.

“Pada masa sama ia menunjukkan masih banyak perkara perlu dipelajari Solehin dan Fareez. Fareez perlu belajar mengendalikan jentera dengan lebih baik manakala Solehin perlu belajar mengawal tekanan untuk mengelak daripada terjatuh apabila bertarung dengan pelumba kelompok hadapan.” Setakat ini, Solehin dan Fareez berkongsi 46 mata untuk menduduki tempat ke-11 dan 12 manakala Azman yang mula menyertai mereka ketika di Sepang selepas pembubaran pasukan Ride it Right Racing berada di kedudukan ke-15 dengan 26 mata.
Erwan tidak menetapkan sasaran tinggi pada perlumbaan akhir musim itu. “Jika ada pelumba menaiki podium, itu satu bonus buat kami namun jika menamatkan saingan di kalangan 10 pelumba teratas sudah memadai. “Bagaimanapun, apapun keputusan yang mereka catat pada perlumbaan minggu depan, saya tetap bangga dengan pelumba pasukan ini. “Mereka menunjukkan peningkatan selain bekerja keras sepanjang musim. Selepas ini kami akan berehat seketika sebelum kembali membuat persiapan untuk menghadapi musim depan dan saya harap mereka dapat bersaing merebut kejuaraan Wira.” Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, www.malaysiancubprix.com atau menyertai laman Facebook di www.facebook.com/ malaysiancubprix dan Twit ter melaluiwww.twitter.com/ msiancubprix.

No comments:

Post a Comment