Thursday 24 November 2011

Tiada pilihan (25.11.2011)

SKUAD Olimpik negara berdepan situasi wajib menang ke atas Bahrain bagi merebut tempat kedua Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia yang seterusnya mampu meniup keyakinan dan peluang untuk mereka mara ke peringkat seterusnya.
Dua kekalahan berturut-turut kepada Jepun dan Syria menyebabkan peluang untuk bergelar juara kumpulan bagi layak secara automatik ke Sukan Olimpik London pada pertengahan tahun depan kelihatan sukar.

Barisan pemain yang rata-ratanya masih keletihan ketika ditewaskan Syria 0-2 malam kelmarin selepas mempertahankan pingat emas Sukan Sea, Isnin lalu pasti kembali cergas menjelang pertemuan penting menentang satu lagi pasukan negara dari Asia Barat itu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Malah pengendalinya, Ong Kim Swee sudah melaungkan keyakinan untuk membalas kembali kepercayaan penonton dengan bakal memberikan segala-galanya apabila menentang Bahrain selain mengharapkan kembalinya tiga tonggak utama, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd Fadhli Shas dan Irfan Fazail.

Aksi penting terbabit turut diakui pemain sayap kanan negara, Wan Zack Haikal Wan Nor yang kembali mendapat kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama malam kelmarin selepas tersisih hampir dua bulan akibat kecederaan ketika tewas kepada Jepun, September lalu.

“Perlawanan Ahad ini penting untuk kami meraih tiga mata bagi menghidupkan peluang dalam saingan Kumpulan C selain perlawanan yang boleh dianggap sebagai penebus maruah selepas tewas dua perlawanan,” kata penyerang berusia 20 tahun kelahiran Pahang itu.
Antara tonggak penting yang membantu negara mara ke pusingan ketiga Kelayakan Olimpik 2012 itu turut menggesa rakan-rakannya agar tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan walaupun sedar Bahrain turut terdesak untuk mencipta kemenangan selepas tewas pada dua perlawanan awal kepada Syria (1-3) dan Jepun (0-2).

“Pengalaman menentang Syria terutamanya dari segi fizikal lawan mungkin sedikit sebanyak akan membantu kami bagi mengekang mereka,” katanya yang turut berazam untuk meningkatkan lagi permainan terutamanya selepas banyak gerakannya tidak menjadi.
Pada aksi malam kelmarin, barisan pemain negara tampil bersemangat pada separuh masa pertama dan berjaya mengekang asakan lawan namun faktor keletihan jelas mempengaruhi corak permainan mereka pada babak kedua sehingga melepaskan dua gol kepada pelawat.

Syria kini mendahului Kumpulan C dengan mengumpul enam mata diikuti Jepun yang dibezakan dengan jaringan manakala Bahrain di tempat ketiga diikuti Malaysia tanpa meraih sebarang mata.

Asia diperuntukkan kuota 3.5 dengan tiga juara kumpulan layak secara automatik manakala tiga pasukan kedua terbaik bertarung merebut satu tiket ke perlawanan penentuan dengan pasukan di tempat keempat dari benua Afrika untuk ke London.

No comments:

Post a Comment