Thursday 10 November 2011

Norhafiz galas tugas berat (11/11/2011)

PEMAIN pertahanan skuad negara, Norhafiz Zamani Misbah terus diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pada dua perlawanan persahabatan bertemu skuad kebangsaan India pada 13 dan 16 November ini.
Pemilihan Norhafiz disahkan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal ketika ditemui sebelum berlepas ke India malam tadi namun pengendali berusia 55 tahun itu menegaskan, lilitan kapten di lengan pemain Negeri Sembilan berusia 30 tahun itu tidak bersifat kekal.

Ini kerana, beliau masih mempunyai beberapa pilihan lain untuk menerajui pasukan selain menegaskan, prestasi semasa juga akan menentukan sama ada Norhafiz akan terus kekal memikul tugas itu atau sebaliknya.
“Memikul tugas sebagai kapten bukan mudah kerana pemain yang dipilih itu perlu menunjukkan contoh, karakter dan disiplin yang bagus.

“Kita akan tengok berdasarkan kepada situasi semasa, jika tidak konsisten, kita akan tukar. Bagi saya yang paling penting ialah semangat berpasukan ketika bertemu India,” katanya.

Pada perlawanan persahabatan dengan Australia di Stadium Canberra awal bulan lalu yang menyaksikan skuad negara tewas 0-5, Norhafiz turut diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai kapten.

Jelas Rajagobal, selain Norhafiz, beliau mempunyai beberapa lagi pilihan lain iaitu pemain tengah, Safiq Rahim; penyerang sensasi negara; Safee Sali serta Mohd Aidil Zafuan.

Mengulas keputusannya untuk tidak memilih Safiq yang kali terakhir memikul tugas sebagai kapten ketika dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia bertemu Singapura di Stadium Jalan Besar, Rajagobal berkata: “Saya harap Safiq faham. Saya tahu karakter Safiq, dia akan bermain baik apabila diperlukan.” Perlawanan pertama skuad negara bersama India akan berlangsung di Guwahati pada 13 November ini sebelum bertemu sekali lagi di Kolkata tiga hari selepas itu.

No comments:

Post a Comment