Wednesday 9 November 2011

‘Usah ragui lagi’ (10/11/2011)



KETIKA ramai yang meragui kemampuannya, penyerang negara, Izzaq Faris Ramlan mengotakan janjinya apabila muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan untuk membolehkan Malaysia menang 2-1 ke atas Thailand dalam kempen bola sepak Kumpulan A Sukan Sea Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Izzaq, 21, yang masuk menggantikan pemain sayap Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-80, merembat masuk gol kedua negara lima minit selepas itu sebaik mendapat hantaran kapten, Baddrol Bakhtiar dalam kotak penalti.

Gol itu cukup penting kerana ia bukan saja kembali menyemarakkan peluang Malaysia dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos, dua tahun lalu malah ia begitu bermakna buat Izzaq yang dikritik hebat sebelum ini kerana aksi kurang memberangsangkan.
“Saya gembira kerana diturunkan, malah lebih bermakna apabila dapat menjaringkan gol kemenangan. Sebelum ini ramai yang meragui kemampuan saya dan gol ini bagus untuk karier bola sepak saya,” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Sebelum ini, ramai pihak kurang berpuas hati dengan penampilan Izzaq, bukan saja dalam skuad Olimpik, malah ketika dipanggil bersama skuad senior kerana gagal menjaringkan gol di pentas antarabangsa.

Kali terakhir pemain kelahiran Kemaman, Terengganu itu menjaringkan gol ketika skuad bawah 23 tahun negara menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan bulan lalu.

Pada perlawanan pertama ketika Malaysia seri 0-0 dengan Singapura pada aksi pertama Isnin lalu, Izzaq turut beraksi 10 minit terakhir kerana tidak cukup cergas sepenuhnya akibat diserang cirit-birit.

Semalam, selepas 25 minit mengatur gerakan, Malaysia berjaya membuka tirai jaringan apabila bola lorongan Mohd Asraruddin Putra Omar ke dalam kotak penalti bijak disempurnakan Baddrol dengan rembatan deras ke penjuru gawang.
Pada babak kedua, skuad muda negara hampir di depan namun rembatan deras pemain sayap kanan Wan Zaharulnizam singgah di tiang gol ketika penjaga gol, Weerawut Kayern sudah tertewas.

Bagaimanapun gerakan Thailand yang beraksi dengan 10 pemain selepas tidak dapat menukar seorang pemain yang cedera kerana sudah memasukkan tiga pemain gantian menyamakan kedudukan menerusi sepakan kencang Natarid pada minit ke-76.

Namun Izzaq membuktikan kenapa dia berhak berada dalam skuad dengan menyumbat gol kemenangan selepas bijak memperdayakan pertahanan lawan pada minit ke-85.

No comments:

Post a Comment