Thursday 10 November 2011

Medan terbaik tambat semula hati peminat (11/11/2011)

SELEPAS tumpas beberapa aksi antarabangsa sebelum ini yang sekali gus melunturkan kepercayaan peminat terhadap pasukan senior negara, dua perlawanan persahabatan bertemu India pada 13 dan 16 November ini menjadi medan terbaik untuk skuad negara menambat semula hati peminat.
Demikian pandangan penjaga gol skuad negara, Mohd Farizal Marlias yang mewakili rakan sepasukannya apabila menekankan yang mereka tidak mahu lagi melukakan hati peminat tempatan selepas sering berdepan kekalahan demi kekalahan, dengan terbaru tewas kepada Australia pada aksi persahabatan di Stadium Canberra, bulan lalu.

“Sudah lama rasanya kami tidak meraih kemenangan dan perlawanan bertemu India menyediakan peluang terbaik untuk kami mendapatkan semula rentak. Setiap pemain juga nampak bersemangat untuk menghadapi perlawanan berkenaan.
“Bagi saya kami perlu kembali mengekalkan prestasi pada saingan antarabangsa. Inilah masa terbaik untuk kami membalas segala kritikan yang tidak benar mengenai skuad negara selama ini,” katanya.

Mohd Farizal yang diturunkan pada babak pertama ketika perlawanan persahabatan bersama pasukan yang diwakilinya iaitu juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan, dilihat menjadi antara pilihan utama diturunkan pada aksi perlawanan persahabatan di India selepas ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat yang menggalas tugas bersama skuad bawah 23 tahun pada Sukan Sea di Jakarta.

Namun dia tidak mahu terlalu yakin dengan kedudukan selaku pilihan utama di India nanti sambil menegaskan segala-galanya terpulang kepada keputusan jurulatih.


No comments:

Post a Comment