Wednesday 23 November 2011

Mohd Arif idam layak ke akhir (24/11/2011)

PEMAIN perseorangan negara Mohd Arif Abdul Latif menyifatkan kehadiran pemain dari Indonesia dan Taiwan sebagai saingannya pada Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Proton Malaysia 2011 yang kini berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan.
Sebagai naib juara kejohanan itu tahun lalu, Mohd Arif, 22, berjanji memberikan persembahan terbaik untuk sekali lagi layak ke peringkat akhir. Mohd Arif yang baru balik daripada menyertai Sukan Sea di Indonesia dengan memperoleh pingat perak berpasukan berkata, selepas menyertai kejohanan di Sabah, dia akan menyertai Terbuka Macau pada hujung bulan ini.

Dia berkata faktor keletihan kerana menghadapi tiga kejohanan dalam bulan ini tidak menjejaskan tumpuan untuk memberi persembahan terbaik pada kejohanan ini dan Terbuka Macau.
Cabaran Antarabangsa Proton Malaysia 2011 yang bermula semalam dan berakhir Ahad ini turut disertai pemain dari Jepun, Thailand, Singapura, Republik Czech, Kanada, Vietnam, Filipina, Kazakhstan, Switzerland, Russia, Sri Langka, Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia.

Keseluruhan hadiah ditawarkan berjumlah RM47,722 (US$15,000).

Selain Mohd Arif, antara pemain negara yang menyertai kejohanan itu adalah juara perseorangan badminton remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli. - Bernama

No comments:

Post a Comment