Wednesday 23 November 2011

Hansen mula cemerlang (24/11/2011)

BUAT kali pertama selepas enam tahun, kejohanan Piala Monsun di Pulau Duyong bermula dengan diiringi cuaca monsun sebenar.
Pada hari kedua pertandingan, siri pusingan liga untuk menentukan lapan pasukan yang layak ke suku akhir terpaksa diadakan dalam cuaca tidak menentu hujan lebat dan renyai silih berganti.

Begitu juga dengan angin yang boleh bertukar dari enam knot ke 12 knot dan kemudiannya 40 knot hanya sekelip mata saja dan keadaan arus deras berpanjangan merumitkan lagi pelumba yang bertanding untuk mengawal kapal layar mereka.
Keadaan sebegitu tidak disangka 12 pelumba yang mengambil bahagian kerana cuaca sedemikian belum pernah berlaku dalam enam edisi Piala Monsun sebelum ini.

Namun, semua itu gagal menafikan Bjorn Hansen, jurumudi Sweden yang mewakili Pasukan Pelayaran Mekonomen untuk mendahului peringkat kumpulan selepas mencatat tiga kemenangan tanpa kalah.

Hansen mengatasi jurumudi pasukan Adrian Lee & Partners Racing, Jesper Radich, ketua pasukan Tiller Full Metal Jacket Racing, William Tiller dan jurumudi pasukan GAC Pindar, Ian Williams.
Williams yang kini mengetuai Siri Jelajah Dunia (WMRT) gagal memulakan misi dengan baik selepas tewas kepada Hansen dan juga pelumba Australia, Datuk Peter Gilmour, yang mewakili pasukan Yanmar Racing.

“Hujan terlalu lebat semasa berlumba dengan Gilmour sehingga kami tidak dapat melihat ke depan dan pada satu ketika kami terlepas penanda tempat membuat pusingan dan akhirnya kami terpaksa mengaku kalah kepada lawan.
“Sememangnya kami sukar mengawal kapal layar dalam keadaan sebegini dan nasib baik perlumbaan kami dengan Tiller ditangguhkan kerana kami rasa akan kalah perlumbaan itu,” katanya.

Tiller yang memenangi kejohanan kelayakan Piala Monsun peringkat Asia di lokasi perlumbaan yang sama bulan lalu berkata, cuaca amat baik dengan langit cerah dan angin pantai sederhana ketika dia berada di Pulau Duyong sebelum ini.

“Keadaan cuaca sekarang terlalu berbeza namun semua pelumba terpaksa melalui keadaan yang sama dan kami gembira kerana dapat menang dua kali dan tewas sekali,” kata Tiller yang tewas kepada Hansen namun berjaya mencipta kemenangan ke atas rakan senegara, Phil Robertson dari pasukan Waka Racing dan pelumba Perancis, Mathieu Richard yang mewakili pasukan Pelayaran France.

Richard yang hampir menang kejuaraan dunia musim lalu juga bermula malang selepas tewas dua kali kepada Tiller dan pelayar Itali, Francesco Bruni (Bruni Racing).

“Kami tidak bernasib baik sepanjang musim ini dan nampaknya nasib masih belum berubah namun kami berjanji akan menggandakan usaha dan mencapai beberapa kemenangan untuk layak ke pusingan seterusnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment