Wednesday 9 November 2011

Misi Berdych, Tsonga hampir jadi kenyataan (10/11/2011)

PARIS: Tomas Berdych dan Jo-Wilfried Tsonga hanya perlu menang satu lagi perlawanan untuk layak ke final Jelajah Dunia ATP selepas melangkah ke pusingan ketiga kejohanan Paris Masters, kelmarin.
Berdych dari Republik Czech yang akan menempah tiket ke saingan 20 hingga 27 November di London itu jika layak ke suku akhir di Bercy, mengetepikan cabaran pemain Sepanyol, Fernando Verdasco 6-3 7-5 manakala Tsonga turut mengharapkan layak ke suku akhir selepas menewaskan seorang lagi pemain Sepanyol, Guillermo Garcia-Lopez, 6-3 6-4.

Tujuh pemain bersaing untuk merebut salah satu daripada baki tiga tempat ke final Jelajah Dunia.
Pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, Rafael Nadal, Andy Murray, Roger Federer dan David Ferrer sudah melayakkan diri.

Berdych yang juga pilihan kelima akan bertemu pemenang pertemuan pilihan ke-11, Janko Tipsarevic dari Serbia dan Alex Bogomolov Jr dari Amerika manakala pemain pilihan tempatan, Tsonga yang juga pilihan keenam, akan bertemu sama ada Nicolas Almagro dari Sepanyol atau pemain Itali, Andreas Seppi.

Verdasco mendahului Berdych 5-3 pada set pertama tetapi pemain Czech itu bangkit untuk memenangi set pertama.

Dia terus mempamerkan aksi cemerlang di set kedua tetapi Verdasco berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 5-5. Berdych bagaimanapun akhirnya meraih kemenangan. Tsonga pula tidak berdepan masalah untuk mengetepikan Garcia-Lopez.

Pemain Perancis itu ketinggalan 2-4 pada set kedua sebelum bangkit untuk mencatatkan kemenangan.

Sementara Andy Roddick yang juga pilihan ke-13, turut melangkah ke pusingan ketiga selepas meraih kemenangan 6-4 6-4 ke atas pemain Perancis, Julien Benneteau. - Reuters

No comments:

Post a Comment