Wednesday, 9 November 2011

Thorpe gagal penuhi sasaran (10/11/2011)

BEIJING: Jaguh renang dunia, Ian Thorpe gagal melayakkan diri ke final acara 100m kuak kupu-kupu di Piala Dunia Beijing, semalam, sekali gus gagal merealisasikan harapan mencipta keputusan cemerlang pada kejohanan kedua yang disertainya.
Atlet Australia berusia 29 tahun itu menduduki tempat ke-13 keseluruhan dengan catatan 54.35 saat, ketinggalan 2.22 saat di belakang perenang Jepun, Kosuke Hagino, selain turut gagal mara ke final acara gaya bebas 100m dan 100m irama individu, kelmarin.

Kegagalan ini yang kedua buat juara Olimpik lima kali itu selepas turut gagal meraih pingat dalam kejohanan pertamanya di Singapura, minggu lalu.
Perenang digelar ‘Thorpedo’ itu akan beraksi di Tokyo minggu ini dalam persediaan menempah tiket ke Olimpik bersama Australia, sekali gus merebut tiket ke London 2012 dan bersaing dengan bintang Amerika Syarikat (AS), Michael Phelps.

“Sekiranya saya gagal sekali lagi di Tokyo, pasti ia mengecewakan saya. Ini kerana, saya meletakkan sasaran di saingan itu untuk bangkit,” katanya sejurus selepas beraksi di Singapura.

Thorpe mengumumkan kembali ke arena sukan renang pada Februari lalu dan menjalani latihan di Switzerland di bawah pimpinan jurulatih, Gennadi Touretski.

Dia mengutip lima pingat emas pada Sukan Olimpik 2000 dan 2004 dengan 11 gelaran dunia sebelum bersara pada 2006 pada usia 24 tahun kerana kurang motivasi. - AFP

No comments:

Post a Comment