Wednesday 9 November 2011

Vettel ‘Rooney’ F1 (10/11/2011)

BERLIN: Pemilik pasukan Formula Formula Satu (F1) Red Bull, Christian Horner mendakwa juara dunia, Sebastian Vettel memiliki selera memburu kejayaan sama seperti bintang bola sepak England, Wayne Rooney.
Bintang Jerman itu merangkul gelaran ke-11 dalam 17 perlumbaan musim ini di Grand Prix India, 30 Oktober lalu dan Horner berkata, semangat Vettel untuk menguasai litar sama seperti misi bintang Manchester United, Rooney memburu gol.

“Jika di arena bola sepak, Vettel pastinya beraksi sebagai penyerang. Dia umpama Rooney yang laparkan jaringan,” kata Horner.
Pelumba berusia 24 tahun itu membuktikan hasratnya selepas menaikkan kemarahan Horner kerana mengambil beberapa risiko untuk mencatatkan catatan sepusingan terpantas di Litar Antarabangsa Buddh, New Delhi.

Walaupun mendahului perlumbaan dengan selesa, Vettel mengingkari nasihat pasukannya untuk mencipta rekod terpantas di litar itu. Horner akur tiada apa yang mampu dilakukannya untuk menghalang pelumba itu.

“Dia mohon maaf kerana sedar kami tidak suka dengan tindakan yang diambilnya itu. Kami sudah lakukan yang terbaik, malangnya tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalang Vettel,” katanya.

Dengan baki dua perlumbaan musim ini, Horner berkata, Vettel tidak menunjukkan tanda-tanda ingin berehat daripada menambah mata terhadap 374 mata yang sudah dikumpulnya pada musim ini.

“Dia umpama memiliki naluri seorang pembunuh meskipun wajahnya begitu tenang. Dia cintakan kesempurnaan dan bercita-cita tinggi, sekiranya ada seseorang di depannya pasti dia akan memintasnya,” katanya.

Perlumbaan seterusnya berlangsung di Abu Dhabi, 13 November ini dan saingan musim ini berakhir di Brazil dua minggu kemudian. - AFP

No comments:

Post a Comment