Wednesday 23 November 2011

McDowell harapkan keserasian (24/11/2011)

HAINAN (China): Juara kejohanan utama golf, Rory McIlroy dan Graeme McDowell berharap keserasian mereka akan memberikan kelebihan untuk mencatatkan kemenangan bagi Ireland dalam saingan Piala Dunia yang bermula di selatan China, hari ini.
Pasangan terbabit berharap membaiki kedudukan dalam kejohanan dua sepasukan itu selepas menamatkan saingan dua tahun lalu sebagai naib juara di belakang pasangan adik-beradik dari Itali, Francesco dan Edoardo Molinari yang bakal mempertahankan gelaran itu di Pulau Hainan.

“Gandingan kami baik dan punya keserasian yang bagus dalam dan luar lapangan,” kata pemain nombor dua dunia, McIlroy yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun ini.
Pasangan yang turut bergandingan dalam Piala Ryder itu menjadi pilihan utama untuk memenangi kejohanan di Kelab Golf dan Resort Mission Hills yang mempertandingkan format four-ball dan foursome.

“Tidak dinafikan keserasian di lapangan sangat penting. Anda perlu mampu memberi motivasi kepada satu sama lain terutamanya apabila tidak beraksi dengan baik selepas beberapa lubang,” kata McDowell, juara Terbuka AS 2010.

Ikatan darah mungkin memainkan peranan penting untuk gandingan adik-beradik Molinari mengulangi kejayaan sekali lagi selepas kejuaraan pertama untuk Itali di Piala Dunia pada 2009 Kompleks Golf Mission Hills di Shenzhen.
Hanya AS dan Sepanyol berjaya mengekalkan kejuaraan sejak kejohanan pertama pada 1953 dengan AS mendominasi apabila mencatatkan 32 kejuaraan.

“Hebat untuk mencapai kejuaraan dua tahun lalu kerana kami belum memenangi kemenangan besar sebelum ini. Apabila beraksi untuk negara, tekanan yang lebih dirasai,” kata Edoardo.
“Semoga kami dapat melakukan perkara sama tahun ini. Namun paling penting kami bermain dengan baik dan mengetahui corak permainan masing-masing.” - AFP

No comments:

Post a Comment