Friday 11 November 2011

Ketepikan kecederaan (11/11/2011)

PARIS: Bintang tenis dunia, Novak Djokovic dan Andy Murray mengetepikan masalah kecederaan yang mereka alami untuk layak ke pusingan ketiga Masters Perancis di Bercy Arena, kelmarin.
Penyertaan Djokovic di kejohanan yang dimenanginya pada 2009 diragui selepas kecederaan bahunya berulang tetapi kemampuannya terlalu hebat untuk mudah menjinakkan lawan dari Croatia, Ivan Dodig, 6-4, 6-3.

Pemain nombor satu dunia dari Serbia itu yang tewas kali keempat musim ini kepada Kei Nishikori di Switzerland, minggu lalu bagaimanapun mempamerkan aksi longlai di awal set pertama hingga melakukan 10 kesalahan.
Namun, dia bangkit untuk memenangi perlawanan itu dan bertemu rakan senegara, Viktor Troicki, yang juga pemain pilihan ke-15 di pusingan ketiga.

“Saya belum mempamerkan persembahan terbaik dan memperbaiki permainan dari masa ke semasa. Saya yakin ia semakin mantap hari demi hari.

“Saya berusaha dengan gigih beberapa minggu lalu selepas pulih dan percaya kini berada di landasan tepat untuk kembali seperti asal,” katanya.

Sementara itu, Murray yang terpaksa menarik diri dari saingan di Switzerland akibat masalah kekejangan otot punggung tidak mempamerkan sebarang kesan sampingan apabila mudah menewaskan lawannya dari Perancis, Jeremy Chardy, 6-2, 6-4. - AFP

No comments:

Post a Comment