Friday 11 November 2011

Tekad padam memori pahit (11/11/2011)

ABU DHABI: Fernando Alonso dan pasukan Formula Satu (F1) Ferrari akan cuba memadam memori pahit 2010 apabila memburu kejayaan pada Grand Prix Abu Dhabi, Ahad ini.
Juara dunia dua kali itu cuba melupakan peristiwa tahun lalu yang menyaksikannya tiba di Abu Dhabi sebagai salah seorang pencabar untuk takhta pemandu tapi mengalami kekecewaan besar selepas keretanya gagal memperoleh kuasa memotong yang akhirnya meletakkannya di tempat ketujuh.

Sebastian Vettel dari Red Bull menjulang takhta itu pada usia 23 tahun untuk menjadi juara termuda perlumbaan itu dan mempertahankan gelaran dengan persembahan mantap pada tahun ini.
Penguasaannya dan konsistensi Red Bull membolehkan mereka merangkul kedua-dua takhta tahun ini, sebelum saingan di sirkit canggih Yas Marina, satu-satunya gelanggang F1 di Timur Tengah tahun ini bermula.

Justeru, tumpuan pastinya menjurus ke arah usaha Alonso untuk merampas tempat kedua dalam persaingan dengan Jenson Button dari McLaren dan Mark Webber (Red Bull).

Alonso turut menaruh harapan dia dan rakan sepasukan Ferrari dari Brazil, Felipe Massa boleh membantu untuk melupakan kekecewaan memalukan tahun lalu itu.

Ketua Ferrari, Stefano Domenicali menggambarkan keyakinan pasukannya dengan berkata: “Bagi baki dua perlumbaan itu, kami mahu cuba untuk naik podium dan sedaya mungkin membantu Fernando meraih tempat kedua dalam kedudukan pemandu. Kami akan bekerja keras untuk mencapai matlamat itu.”

No comments:

Post a Comment