Tuesday 22 November 2011

Kenangan paling manis Kim Swee (23/11/2011)

KEJAYAAN skuad bawah 23 tahun negara mempertahankan pingat emas bola sepak di Sukan Sea Indonesia kelmarin cukup manis untuk dikenang jurulatih, Ong Kim Swee.
Baginya, pengembaraan anak buahnya untuk menaiki podium di Stadium Gelora Bung Karno bagi menerima kalungan emas dengan menewaskan tuan rumah di pentas final bukan mudah jika mengambil kira dugaan yang terpaksa ditempuhi.

“Kejayaan meraih pingat emas di sini cukup manis bagi saya. Kita berjaya mengekalkan pingat emas dua tahun lalu sekali gus membuktikan kejuaraan yang diperoleh sebelum ini bukannya sekadar nasib,” katanya.
Masalah jadual perlawanan padat, provokasi penyokong Indonesia yang melampau serta kecederaan tonggak utama tidak menghalang skuad negara mencipta kemenangan menerusi sepakan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam aksi selama 120 minit di final temasya edisi ke-26 kelmarin.

“Sebelum masuk ke stadium (kelmarin), kami terkandas selama 40 minit kerana dihalang penyokong Indonesia. Mereka mengetuk bas kami dengan kayu tapi pemain tetap fokus pada perlawanan akhir,” kata Kim Swee.

Pengendali berusia 41 tahun itu nyata bijak mengatur strategi ketika skuadnya tempang apabila kehilangan tonggak utama, Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria akibat kecederaan.
Kim Swee berani memasukkan pemain baru serta melakukan perubahan posisi termasuk menggunakan Mohd Zubir Azmi yang tidak pernah beraksi sebelum final di bahagian pertahanan kiri sementara Mohd Asraruddin Putra Omar, penjaring gol penyamaan di sayap kiri.

“Saya berada dalam situasi sukar apabila ada pemain yang cedera tapi saya tetap positif. Saya tidak boleh menjadikan ini satu alasan kerana saya mempunyai kumpulan pemain yang bagus,” katanya.

No comments:

Post a Comment