Tuesday 22 November 2011

Michiels tak tidur lena kenang kekalahan (23/11/2011)

KEKALAHAN ‘Garuda Muda’ di depan lebih 100,000 penyokong sendiri di Stadium Gelora Bung Karno kelmarin membuatkan bintang mereka, Diego Michiels tidak tidur lena.
Pemain kelahiran Belanda itu berkata, ia keputusan yang sukar diterima apabila tewas menerusi sepakan penalti 3-4 selepas kedudukan kekal 1-1 sehingga ke masa tambahan.

“Saya tidak boleh tidur malam tadi (semalam) kerana mengenangkan kekalahan di final kepada Malaysia.
“Kekalahan itu cukup mengecewakan kerana kami sudah melakukan yang terbaik. Kami amat mengharapkan kemenangan sebagai hadiah kepada semua penyokong,’ kata Michiels pemain pertahanan tengah.

Sementara itu, jurulatih Indonesia, Rahmad Darmawan menyalahkan pemainnya yang membenarkan Malaysia bangkit menyamakan kedudukan selepas mendahului di awal permainan menerusi jaringan Gunawan Dwi Cahyo.

“Pemain seperti takut untuk terus melancarkan serangan selepas mendahului 1-0, mereka seolah-olah mahu menamatkan permainan dengan keputusan itu,” katanya.
Sementara itu, laporan akhbar Indonesia rata-rata tetap bangga walaupun pasukan muda mereka tewas di tangan juara bertahan Malaysia.

Menurut laporan The Jakarta Globe yang bertajuk ‘Heartbreak Again For Merah Putih’ kegagalan pada final kelmarin tidak ubah seperti apa yang dialami 14 tahun lalu di Stadium Gelora Bung Karno ketika tewas di tangan Thailand menerusi sepakan penalti 2-4.
Laporan Koran Tempo yang bertajuk ‘Tetap Bangga’ pula menceritakan pemain Indoensia sudah berjuang habis-habisan namun ternyata Malaysia lebih bersedia di pentas final terutama ketika penentuan penalti.

No comments:

Post a Comment