Tuesday 22 November 2011

‘Lanun’ bakar misi (23/11/2011)

KARIKATUR sebuah akhbar Indonesia yang mempersendakan pasukan bawah 23 tahun negara menjadi pencetus semangat Asraruddin Putra Omar untuk membantu Malaysia meraih ‘Ibu Emas’ Sukan Sea menewaskan pasukan tuan rumah di final kelmarin.
Lakaran yang menggambarkan skuad negara seperti lanun itu sengaja ditayangkan pada sesi penerangan taktikal oleh jurulatih Ong Kim Swee di hotel penginapan mereka sebelum berangkat ke Stadium Gelora Bung Karno.

“Bagi saya ia satu penghinaan yang sangat dahsyat, memang sesuatu yang tidak boleh diterima bukan saja pemain tapi semua rakyat Malaysia,” tegasnya.
Pemain berusia 22 tahun itu yang menyumbat gol penyamaan pada minit ke-34 selepas tuan rumah mendahului menerusi gol Gunawan Dwi Cahyo (m-5) nyata puas dengan emas keduanya selepas turut bersama skuad juara 2009 di Laos.

“Saya amat bangga dengan pingat emas untuk negara ini, ia tidak boleh dibayar dengan wang ringgit, pengalaman ini cukup berbaloi,” kata Asraruddin.

Sementara itu, kapten Baddrol Bakhtiar mengaku membuat keputusan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dengan mengambil sepakan penalti kelima untuk menghadiahkan kemenangan 4-3 buat Malaysia.
“Saya memberitahu jurulatih (Ong Kim Swee), saya mahu mengambil sepakan penalti kelima. Saya selalu mengambil sepakan penalti pertama dan bukannya sepakan yang terakhir tapi saya berasa ini adalah tanggung jawab saya.

“Saya yakin ketika mahu melakukan sepakan itu walaupun rasa berdebar tapi syukur Alhamdulillah saya berjaya mengotakan janji untuk menjaringkan gol,” kata Baddrol.

No comments:

Post a Comment