Monday 21 November 2011

Keluarga Hadi cemerlang (22/11/2011)

SELEPAS tiga anak Hanafiah Yoong, Alex, Phillipa dan Aaliyah melakar nama di temasya Sukan Sea ke-26 kali ini, giliran anak Abdul Hadi Ahmad pula menyinar.
Katrina dan Farah Ann tentunya bukan nama asing bagi pencinta sukan tanah air, mula mencipta nama dalam sukan gimrama di peringkat pendidikan rendah tetapi melalui proses evolusi yang cukup baik apabila beralih ke sukan lain.

Farah, 17, yang beraksi dalam gimnastik artistik wanita berjaya menyumbang satu daripada dua pingat perak dalam sukan itu pada aksi pertamanya di Sukan Sea.
Namun Katrina lebih menyerlah selepas menyumbang lima emas di kolam renang.

“Saya memang menggalakkan anak-anak saya bersukan. Saya dan isteri sentiasa menyokong apa yang mereka lakukan,” kata Abdul Hadi mengenai dua anaknya yang bergiat aktif dalam sukan, manakala seorang lagi Aisyah Ann mempunyai minat berbeza.

Katrina, 19, yang dulunya aktif dalam gimnastik artistik membuat pilihan tepat memilih sukan renang berirama ketika memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SBBJ).
“Di sekolah rendah saya amat aktif bermain dalam banyak acara iaitu gimnastik artistik, olahraga (100m, 200m dan 400m).

“Tapi bila masuk ke SSBJ saya perlu memilih sukan mana yang mahu fokus dan saya pilih renang berirama kerana merasakan peluang untuk menyerlah lebih besar dalam sukan ini.
“Ayah saya juga banyak membantu memilih sukan ini tapi dia tidak pernah memaksa sebaliknya sentiasa menyokong pilihan saya,” kata Katrina.

Hal itu diakui Abdul Hadi kerana menurutnya dalam pemilihan sukan ibu bapa tidak boleh memaksa anak-anak.

“Saya tidak pernah paksa kerana jika kita memaksa, anak-anak rasa tertekan sehingga mungkin mengganggu pembelajaran mereka.

“Biar mereka lakukan apa yang mereka minat dan tiada sebab untuk mereka gagal dalam kedua-dua bidang.

“Malah jika memaksa anak mengambil bahagian dalam sukan yang kita gemari boleh menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko kecederaan kerana terlalu memaksa diri,” kata Abdul Hadi lagi.

Dia bersama isteri turut menyokong anak-anaknya dengan cuba menghadirkan diri ke kejohanan sukan yang membabitkan buah hati mereka itu.

No comments:

Post a Comment