Friday 11 November 2011

Jangan terjerat (12/11/2011)

PENJAGA gol negara, Khairul Fahmi Che Mat mengingatkan rakan sepasukan kedudukan mereka masih belum selamat meskipun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan awal kempen Kumpulan A Sukan Sea Indonesia.
Baginya, semua pemain usah bermegah dengan kejayaan menundukkan juara 13 kali, Thailand dan seri 0-0 dengan satu lagi pasukan pilihan, Singapura sebaliknya terus fokus kepada perlawanan menentang Kemboja esok.

Khairul Fahmi, 22, berkata, sikap memandang rendah keupayaan Kemboja hanya akan mengundang padah.
“Semua pasukan masih ada peluang, kita tidak boleh bermegah dan puas hati dengan kejayaan menewaskan Thailand.

“Masih ada dua perlawanan penting untuk kita hadapi dan segala kelemahan yang ada perlu segera diperbaiki,” katanya.

Khairul Fahmi, tonggak kejayaan Harimau Malaya menjulang trofi Piala Suzuki AFF Disember lalu menganggap mereka perlu berhati-hati dengan Kemboja yang mahu memburu kemenangan selepas tumpas kepada Indonesia (0-6) dan Singapura (1-2).

“Kemboja belum mengutip sebarang mata lagi dan mereka pasti berjuang habis-habisan, kami harus berjaga-jaga,” katanya yang turut popular dengan panggilan Apek.

Jika Malaysia berjaya memungut tiga lagi mata, kedudukan skuad kendalian Ong Kim Swee untuk menempah slot ke separuh akhir cerah meskipun perlu berdepan perlawanan paling dinantikan Kumpulan A, menentang Indonesia Khamis depan.

No comments:

Post a Comment