Friday 11 November 2011

Idam satu pingat (12/11/2011)

HENDRAWAN adalah bintang idolanya dan pemain badminton negara, Arif Latif tidak menyangka dia dapat berlatih di bawah pemain pujaannya itu dua tahun lalu.
Kejayaan Hendrawan, jurulatih dari Indonesia yang muncul juara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia 2001 di Seville, Sepanyol menjadi pembakar semangat buat anak muda berusia 22 tahun dari Seremban itu untuk menyerlah pada peringkat antarabangsa.

Nyata Arif, adik kepada pemain beregu Zakry Latif, agak tertekan apabila ramai yang harap dia mampu menjadi pengganti pemain nombor satu dunia ketika ini, Datuk Lee Chong Wei ketika rakan seangkatannya dari China, Chen Long sudah mula mampu mencabar.
“Saya hadir di sini dengan sasaran peribadi untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat. Saya akan cuba melakukan kejutan walaupun sedar ada jurang antara saya dengan pemain lain terutama dari negara tuan rumah, Indonesia,” katanya yang tampil buat julung kali pada temasya Sukan Sea.

Selain acara berpasukan yang bermula hari ini, Arif turut melontarkan cabaran dalam acara individu di samping Liew Daren.

Dia meramalkan berdepan kesukaran dalam acara perseorangan namun menganggap itu bukannya sesuatu yang mustahil kerana pernah memberikan saingan sengit kepada bintang Indonesia, Taufik Hidayat dan Simon Santoso sebelum ini.

“Saya akui lambat meningkat berbanding pemain seperti Chen Long tapi saya tetap berasa ada peningkatan ketara tahun ini,” katanya yang dipanggil Areyep di kalangan rakan dan keluarga sejak kecil dan akan turun sebagai perseorangan kedua dalam acara berpasukan.

Dalam undian acara berpasukan lelaki, Malaysia, pilihan kedua di belakang Indonesia, diundi bertemu Vietnam pada suku akhir petang ini manakala skuad wanita yang mengejutkan apabila memenangi pingat emas di Vientiane dua tahun lalu, menghadapi laluan sukar ke perlawanan akhir kerana diundi bertemu tuan rumah pada separuh akhir. Pada suku akhir pagi ini, mereka bertemu Filipina.
Menanti skuad lelaki negara pada separuh akhir sama ada Singapura atau Filipina.

No comments:

Post a Comment