Saturday 12 November 2011

‘Saya tak dendam’ (13/11/2011)

LEGENDA gusti Dave ‘Fit’ Finlay berkata dia tidak berdendam selepas dipecat WWE dan kembali ke Britain untuk bergusti.
Penggusti Ireland Utara itu menyertai Varsity Pro Wrestling (VPW), dan perlawanan membabitkannya akan disiarkan mulai bulan depan.

Biarpun mengambil tugas belakang tabir menjelang penghujung kariernya bersama WWE, Finlay berkata dia terdesak untuk kembali ke gelanggang.
“Ia membolehkan saya melebarkan sayap dan kembali ke Britain untuk beraksi buat kali pertama selepas sekian lama.

“Saya fikir kami boleh mengembalikan keajaiban zaman gusti Britain. Sudah lama kita tidak menyaksikannya.

“Era World of Sport banyak membantu dunia gusti British tetapi ramai penggusti berbakat ketika ini.

“Jika penggusti ini berusaha keras untuk memperbaiki diri mereka, mempunyai semangat dan bakat, sudah pasti mereka akan berjaya.

“Varsity Pro Wrestling TV adalah peluang terbaik untuk menempatkan kembali gusti Britin di mata dunia. Ia bukan sesuatu yang mudah dan semua pihak perlu bekerjasama sebagai pasukan bagi memastikan mereka bergerak pada arah yang sama. Belum cuba, belum tahu.” Finlay dilepaskan WWE berikutan insiden dalam satu acara tahun ini di mana dia membenarkan The Miz mengganggu penyiaran lagu kebangsaan Amerika Syarikat ketika kehadiran National Guard.

Ramai menganggap tindakan itu hanya untuk menyelamatkan syarikat itu dan mungkin kembali jika keadaan kembali tenang.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan kembali, saya juga mengharapkannya. Saya mempunyai ramai rakan di sana seperti John Laurinaitis.

“Saya sukakan suasana WWE dan rindukannya tetapi saya tidak akan merajuk kerana tidak berada di sana, anda perlu teruskan kehidupan.

“Saya tidak terasa hati dengan pemecatan itu. Saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku.” Selepas kejadian itu, Finlay benar-benar sibuk dengan pelbagai penganjuran acara di peringkat Amerika Syarikat dan antarabangsa, menjadi jurulatih gusti amatur di sekolah anak lelakinya dan menghabiskan banyak masa dengan keluarganya yang meminati sukan itu.

“Ketiga-tiga anak saya berminat dalam gusti. Anak lelaki sulung berusia 18 tahun menawarkan diri untuk menyertai New Japan Pro Wrestling (NJPW ), anak perempuan berusia 10 tahun adalah juara Georgia State manakala adik lelakinya berusia sembilan tahun turut bergusti biarpun minatnya turut terarah kepada bola sepak.”

No comments:

Post a Comment