Saturday 12 November 2011

‘Jangan gelojoh’ (13/11/2011)

DI SEBALIK rasa waspada dengan kekuatan dimiliki Kemboja, jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara Ong Kim Swee tidak menyembunyikan hasratnya untuk melihat anak buahnya melakar kemenangan selesa dalam perlawanan ketiga Kumpulan A Sukan Sea hari ini.
Beliau sedar, selain tiga mata penting yang perlu diraih dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno itu, jumlah jaringan juga mungkin bakal menjadi penentu dua pasukan yang layak ke separuh akhir daripada Kumpulan A.

Bagaimanapun Kim Swee tetap mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu ghairah memburu gol sehingga membuatkan mereka berada dalam tertekan sebaliknya hanya fokus dalam mencari kemenangan.
“Saya mahu pemain supaya tidak terlalu ghairah untuk menjaringkan gol kerana ia hanya akan memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Kalau pemain mengikut strategi dirancang, kita boleh menjaringkan gol. Lihat saja seperti perlawanan dengan Thailand, kita terlepas empat hingga lima peluang menjaringkan gol kerana tertekan," katanya yang menyaksikan Thailand menewaskan Kemboja 4-0 semalam.

Saingan peringkat kumpulan semakin sengit dengan menyaksikan Indonesia mendahului dua mata mengatasi Malaysia selepas memenangi kedua-dua perlawanan.

Malah Indonesia pula mengumpul lapan gol selepas membelasah Kemboja 6-0 dan Singapura 2-0 berbanding Malaysia yang hanya seri 0-0 menentang Singapura sebelum menang ke atas Thailand 2-1.

Singapura pula menduduki tangga ketiga terikat empat mata bersama Malaysia manakala Thailand yang hanya beraksi dalam dua perlawanan mengumpul tiga mata manakala Kemboja tewas dalam ketiga-tiga perlawanan.

Bagaimanapun untuk melaksanakan misi memburu kemenangan itu bukan mudah buat skuad negara kerana Kemboja yang dibimbing jurulatih Tae Hoon Lee 'liat' untuk ditembusi meskipun masih belum merekod kemenangan setakat ini.

Apa yang diharapkan Kim Swee agar penyerang Syahrul Azwari Ibrahim, Izzaq Faris Ramlan, Ahmad Fakri Saarani dan Baddrol Bakhtiar dapat menyempurnakan setiap peluang yang terhidang.

“Kita kena pastikan pemain-pemain jangan leka kerana Kemboja mempunyai semangat juang yang tinggi. Walaupun mereka ketinggalan tiga gol menentang Thailand mereka masih terus memberi tentangan,” katanya.

Jika menang pada perlawanan itu, peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir cerah biarpun bakal musuh ketat, Indonesia pada perlawanan terakhir kumpulan Khamis depan.

No comments:

Post a Comment