Saturday 12 November 2011

Afifuddin tekad lakar gemilang (13/11/2011)

ATLET taekwondo negara, Mohd Afifuddin Omar bakal menamatkan zaman bujangnya bulan depan namun dia berhasrat untuk memburu hadiah perkahwinan lebih awal apabila turun ke gelanggang dalam kategori bawah 68 kilogram hari ini.
Afifuddin, 25, yang bakal tampil untuk temasya kali ketiga turut mahu menebus kehampaannya selepas hanya meraih gangsa di Manila 2005 dan Laos 2009.

“Memang saya mahu menukar warna pingat kali ini. Saya sudah membuat persediaan rapi selepas Sukan Sea Laos lagi dan yakin mampu memberikan aksi lebih baik,” katanya yang mengakui pengadilan berat sebelah dua tahun lalu menjadi punca dia gagal ke final.
Afifuddin yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan hatinya, Norhidayah Yusuf pada 24 Disember ini mencatat keputusan baik tahun ini apabila muncul juara kebangsaan Julai lalu.

Di sebalik keyakinan yang menggunung, dia yang turut mengintai peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik London tahun depan sentiasa waspada dengan ancaman pencabarnya.

“Atlet Filipina dan Indonesia sentiasa memberi tentangan sengit di peringkat Sukan Sea ini tapi saya tetap yakin dengan kemampuan diri sendiri.

“Saya memang berharap untuk mendapat pingat emas sebagai hadiah perkahwinan saya bulan depan,” kata atlet dari Kuala Lumpur itu.

No comments:

Post a Comment