Wednesday 9 November 2011

Empat negara Afrika tekad baiki kegagalan (10/11/2011)

JOHANNESBURG: Algeria, Cameroon, Nigeria dan Afrika Selatan berharap dapat memperbaiki kegagalan layak ke Piala Negara-Negara Afrika 2012 pada pertemuan persahabatan, minggu ini.
Tunisia bertemu Algeria, Cameroon menentang Sudan dan tuan rumah kejohanan, Maghribi di Marrakech, manakala Nigeria menanti kunjungan Botswana dan Afrika Selatan optimis mengekalkan rekod tanpa kalah menentang Ivory Coast.

Niger pula menentang Belarus di Dubai dan Perancis, negara yang menjadi tumpuan pemain bola sepak benua Afrika bakal menanti kunjungan skuad Burkina Faso, Ghana, Guinea, Mali, Senegal dan Sierra Leone.
Ada juga pasukan membuat persiapan menjelang Piala Negara-Negara Afrika 2012 di Gabon dan Equatorial Guinea, yang bermula pada 21 Januari selama 22 hari.

Sementara, Algeria, Cameroon, Nigeria, dan Afrika Selatan, yang gagal melepasi kelayakan Piala Negara itu perlu memperbaiki prestasi keseluruhan.

Tumpuan mereka kini beralih kepada saingan Piala Negara-Negara Afrika 2013. Perbezaan 12 bulan itu berpunca akibat Piala Dunia 2014 di Brazil.

Cameroon dan Nigeria melantik pengurus baru dan pengurus Super Eagles, Stephen Keshi yang mengetuai negaranya muncul juara kejohanan itu 17 tahun lalu dilihat memiliki tugas lebih mudah berbanding Denis Lavagne dari Perancis.

Nigeria mungkin kecewa selepas Guinea berjaya menyamakan kedudukan lewat permainan di Abuja, bulan lalu, tetapi mereka menyediakan barisan skuad yang kuat untuk menumpaskan Botswana di Benin.

Penjaga gawang, Lille, Vincent Enyeama dan pemain tengah Fulham, Dickson Etuhu turut dipanggil beraksi. Manakala, pemain sayap Wigan, Victor Moses pula dipilih buat pertama kalinya. - AFP

No comments:

Post a Comment