Wednesday 9 November 2011

Federer lebih segar (10/11/2011)

PARIS: Bekas pemain nombor satu dunia, Roger Federer berasa lebih segar selepas berehat enam minggu dan meletakkan sasaran untuk memenangi kejohanan Paris Masters buat kali pertama.
Pemain Switzerland berusia 30 tahun itu yang akan bertemu pemain Perancis, Adrian Mannarino pada pusingan kedua selepas mendapat bye pada pusingan pertama, mendapat tonik terbaik selepas muncul juara buat kali kelima di Basel, Ahad lalu. Jelas Federer, dia tidak berasa terlalu tertekan kerana tidak pernah memenangi gelaran di Paris Masters.

“Saya hanya berasa sedikit gementar sebelum turun perlawanan pertama,” kata pilihan ketiga itu.
“Sudah pasti ada sedikit tekanan. Apabila bercuti dan ketika sesi latihan, anda tidak akan merasai tekanan seperti pada perlawanan sebenar.” Persembahan Federer yang hanya memenangi gelaran di Qatar pada Januari selain Basel agak ‘berkarat’ minggu lalu.

Dia merangkul kejuaraan itu selepas membantu Switzerland menewaskan Australia pada Piala Davis, September lalu yang menyaksikan sentuhannya semakin hambar.

“Mungkin ada dua tiga masalah,” kata Federer yang merangkul kejuaraan di Basel selepas kemarau kejuaraan selama 10 bulan.

“Saya hadapi masalah pergelangan tangan. Agak sakit ketika bertemu Jo-Wilfried Tsonga pada suku akhir Terbuka AS (Amerika Syarikat) dan juga di Australia.

“Saya juga mengalami masalah di buku lali. Ada lagi beberapa masalah lain tapi tiada yang seserius pergelangan tangan.

“Ia menakutkan kerana sakit itu boleh menjadi lebih teruk. Namun saya hanya perlu rehat dua atau tiga minggu untuk pulih.

“Memang agak mengecewakan tetapi lebih baik saya berehat panjang. Ia memberi peluang untuk melakukan apa yang saya inginkan pada sesi latihan serta bercuti bersama keluarga. Saya sudah beraksi 12 tahun berturut-turut bermula Januari sehingga November.” Pemain yang merangkul 16 kejuaraan Grand Slam itu berkata, dia memerlukan perancangan teliti supaya tidak menjejaskan jadualnya yang padat pada tahun depan termasuk Sukan Olimpik di London. - AFP

No comments:

Post a Comment