Sunday 20 November 2011

Emas kedua Harrif (21/11/2011)

NAMANYA hanya disenaraikan pada saat akhir namun penampilan di Sukan Sea Indonesia kali ini tidak mengecewakan buat Mohd Harrif Salleh yang merangkul pingat emas kedua apabila membantu kuartet basikal trek negara meraih emas dalam acara kejar-mengejar berpasukan lelaki semalam.
Harrif, 23 yang mendominasi perlumbaan Scratch kelmarin turun ke Velodorom Rawamangun di Jakarta sekali lagi untuk bergandingan bersama Muhamad Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Mohd Akmal Amrun.

Dalam aksi final itu ternyata pasukan pecut negara terlalu hebat untuk di sekat kuartet tuan rumah dengan catatan 4:31.592 saat.
Indonesia yang meraih perak sekadar merekod, 4:36.684s manakala Filipina mendapat gangsa.

Menurut Harrif, dia cukup gembira selepas berjaya mempertahankan emas yang dimenangi sejak Manila 2005 dan Korat 2007. Di Laos dua tahun lalu, acara basikal trek tidak dipertandingkan.

“Saya tak sangka boleh meraih dua emas di Sukan Sea kali ini kerana saya hanya sertai latihan pusat dua minggu sebelum temasya.
“Kami memasang strategi untuk memperlahankan sedikit kayuhan di awal perlumbaan tadi kerana kami ingin melihat kekuatan Indonesia, selepas tinggal lagi dua pusingan kami mula meningkatkan kayuhan ketika pelumba Indonesia mula keletihan,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Harrif akan bertanding dalam acara terakhirnya, perlumbaan mata hari ini bersama dengan dua lagi pelumba negara, Adiq Hussainie dan Zulhilmie Afiff Ahmad Zamri.
“Kalau boleh saya mahu meraih emas esok (hari ini) tapi bergantung kepada strategi pada perlumbaan itu kerana jika saya mendahului perlumbaan rakan lain akan membantu saya tapi jika Adiq atau Zulhilmie yang di depan, saya akan membantu mereka,” katanya.

Sementara itu acara perlumbaan membabitkan pelumba negara, Fatehah Mustapa final 5km Scratch wanita dan Mohd Hafiz Sufian yang mendahului acara Omnium ditangguhkan akibat hujan lebat pada sebelah petang akan disambung hari ini.

No comments:

Post a Comment