Sunday 20 November 2011

Jadual punca temasya hambar (21/11/2011)

KETIKA temasya Sukan Sea edisi ke-26 berbaki tidak sampai 24 jam lagi sebelum tirainya dilabuhkan, saya dan teman seperjuangan di Jakarta masih bertungkus-lumus berkejar ke sana sini untuk memburu berita buat tatapan pembaca tegar akhbar ini.
Pada masa sama juga, rakan sepejabat di Palembang sudah beberapa hari kekeringan idea mencari berita kerana acara yang mereka laporkan semakin susut dan ramai kalangan atlet dan pegawai negara sudah kembali ke tanah air selepas menyempurnakan tugas mereka.

Apatah lagi di Jakarta pasukan bola sepak negara berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir bertemu tuan rumah Indonesia sekali gus berpeluang untuk mempertahankan pingat emas yang mereka menangi dua tahun lalu di Vientiane. Tentu sekali catatan mengenai bola sepak menjadi tumpuan utama pembaca selepas kontinjen negara semakin menghampiri sasaran paling maksimum, 60 pingat emas.
Tidak pasti sama ada bola sepak mampu menghadirkan emas ke-60 namun segala-galanya masih satu kemungkinan.

Apa yang terfikir di benak fikiran saya adalah mengenai penjadualan acara pada temasya kali ini yang lebih banyak ditentukan tuan rumah.

Terlintas di fikiran kenapa suasana di Palembang semakin suram menjelang majlis penutup di Stadium Gelora Sriwijaya, malam esok.Daripada pengamatan saya, ada kesilapan daripada segi penyusunan jadual yang menyaksikan olahraga dan acara renang dilangsungkan secara serentak di bandar Sumatera Selatan itu.
Sepatutnya, seperti mana-mana temasya sukan besar sebelum ini, sukan renang dijalankan terlebih dulu sebelum diakhiri dengan olahraga. Olahraga adalah kemuncak dengan acara maraton dilangsungkan sehari sebelum majlis penutup. Namun itu tidak berlaku di sini.

Lantas, kemeriahan di Palembang mungkin tidak sama di kota Jakarta yang akan menutup tirainya dengan final bola sepak antara Indonesia dan Malaysia malam ini, merebut apa yang dianggap sebagai ‘ibu segala emas’.
Persekutuan Sukan Sea patut menangani perkara ini dan tidak membiarkan tuan rumah menentukan penjadualan pertandingan.

No comments:

Post a Comment